Ramai isteri diluar sana sangka rumah itu akan bertukar jadi milik isteri sepenuhnya.
Tetapi realitinya tak begitu.
Untuk orang Islam, jika rumah tersebut tiada perancangan dibuat semasa hidup, pembahagiannya tertakluk kepada hukum faraid.
Saya petik dari artikel Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan :
.
Sebagai contoh.
Nilai rumah: RM500,000
Hak milik: 100% atas nama suami
Status: Masih dalam pembiayaan
Katakan suami meninggal dunia dengan keadaan berikut:
- Tiada anak.
- Ibu dan bapa telah meninggal dunia.
- Datuk dan nenek juga telah meninggal dunia.
- Waris yang masih hidup ialah seorang isteri serta dua orang adik lelaki dan dua orang adik perempuan.
Dalam keadaan ini, isteri dan adik-beradik suami merupakan waris faraid yang berhak menerima bahagian masing-masing.
.
Berapakah Bahagian Isteri?
Bahagian faraid isteri ialah 1/4 daripada harta pusaka.
Daripada nilai rumah RM500,000, bahagian isteri ialah:
1/4 × RM500,000 = RM125,000
Ramai yang terkejut apabila mengetahui perkara ini.
Walaupun:
- isteri tinggal di rumah tersebut,
- isteri menjaga suami ketika sakit,
- isteri membantu membayar bil atau ansuran rumah,
ia tidak secara automatik menjadikan keseluruhan rumah itu milik isteri.
Namun begitu, ada satu perkara yang sangat penting.
.
Bagaimana Dengan Harta Sepencarian?
Sebelum pembahagian faraid dibuat, pasangan yang layak boleh membuat tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah.
Jumlah yang diperoleh bukan automatik 50%.
Ia bergantung kepada fakta kes, sumbangan yang dapat dibuktikan serta keputusan Mahkamah Syariah.
Sekiranya tiada tuntutan harta sepencarian dibuat, baki nilai rumah selepas bahagian isteri iaitu RM375,000 akan diagihkan kepada waris faraid yang lain mengikut hukum faraid.
.
Bagaimana Bahagian Adik-Beradik Suami?
Dalam contoh ini, mereka menerima sebagai asabah, iaitu:
- Lelaki menerima dua bahagian.
- Perempuan menerima satu bahagian.
Pembahagiannya menjadi:
- Adik lelaki pertama: RM125,000
- Adik lelaki kedua: RM125,000
- Adik perempuan pertama: RM62,500
- Adik perempuan kedua: RM62,500
Selepas urusan pentadbiran pusaka selesai, bahagian setiap waris akan direkodkan mengikut perintah pembahagian. Bagi harta tak alih seperti rumah, pelaksanaan pembahagian akan dibuat mengikut proses yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk urusan di pejabat tanah apabila berkenaan.
Ini bermaksud rumah yang asalnya dimiliki oleh seorang pemilik sahaja berpotensi menjadi hak bersama lima orang waris.
.
Cabaran Yang Selalu Berlaku
Bagi wang tunai atau aset cair, pembahagian biasanya lebih mudah.
Tetapi bagi rumah atau tanah, cabarannya jauh lebih besar.
Antara persoalan yang sering timbul ialah:
- Siapa akan tinggal di rumah itu?
- Jika hendak dijual, adakah semua waris bersetuju?
- Siapa akan membayar ansuran, cukai dan kos penyelenggaraan?
- Bagaimana jika ada waris mahu menjual tetapi ada yang mahu menyimpan?
Di sinilah biasanya bermula pelbagai cabaran dalam pengurusan pusaka.
Bukan semestinya kerana tamak.
Tetapi kerana setiap waris mempunyai hak masing-masing di sisi hukum dan masing-masing juga mempunyai keperluan hidup yang berbeza.
.
Bagaimana Jika Isteri Mahu Memiliki Keseluruhan Rumah?
Salah satu pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah membuat tuntutan harta sepencarian terlebih dahulu.
Sebagai contoh, katakan Mahkamah Syariah memutuskan isteri berhak menerima 50% sebagai harta sepencarian.
Maka hanya baki 50% sahaja menjadi harta pusaka yang akan difaraidkan.
Dalam keadaan itu:
- Harta sepencarian isteri: RM250,000
- Bahagian faraid isteri (1/4 daripada baki RM250,000): RM62,500
Jumlah keseluruhan hak isteri menjadi:
RM250,000 + RM62,500 = RM312,500
Baki yang menjadi hak waris lain ialah RM187,500.
Jika semua waris bersetuju, isteri boleh menebus bahagian waris lain dengan membayar nilai tersebut.
Namun, tebus pusaka tetap memerlukan dana yang mencukupi dan persetujuan pihak-pihak yang terlibat.
.
Bagaimana Suami Boleh Merancang Semasa Masih Hidup?
Jika hasrat seorang suami ialah:
“Kalau aku meninggal dunia nanti, aku mahu rumah ini menjadi milik isteriku.”
Maka perancangan boleh dibuat lebih awal.
Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah:
1. Mengambil takaful hayat dengan manfaat kematian dihibahkan kepada isteri.
Manfaat takaful yang dihibahkan bukan harta pusaka. Ia boleh menjadi sumber kewangan untuk membantu isteri menebus bahagian waris lain sekiranya diperlukan.
2. Membuat hibah hartanah.
Jika hibah hartanah dibuat secara sah dan memenuhi syarat-syaratnya, rumah yang dihibahkan akan diasingkan daripada harta pusaka selepas pemberi hibah meninggal dunia. Oleh itu, rumah tersebut tidak perlu dibahagikan mengikut faraid.
Perancangan yang dibuat semasa hidup selalunya lebih mudah berbanding menyelesaikan pelbagai isu selepas seseorang meninggal dunia.
.
Nota: Contoh di atas digunakan bagi memudahkan kefahaman. Setiap kes pewarisan adalah berbeza bergantung kepada waris yang masih hidup, status harta, hutang, wasiat (jika ada), tuntutan harta sepencarian serta faktor-faktor lain. Dapatkan penerangan berdasarkan situasi sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.

copyright 2014 - Duniasaya.net
Jul11