Back to top

Nov26

PERANCANGAN PEWARISAN HARTA ISLAM

Orang Islam adalah golongan paling rugi di Malaysia bila sebut topik Harta Pusaka.

Sejumlah RM70 billion (2020) harta pusaka masih beku, iaitu masih diatas nama simati, yang majoritinya adalah milik orang Islam. Nilai ini terus meningkat saban tahun.

Jumlah ini jika dapat terus diurus dan dimanafaatkan oleh waris-waris, tentu akan beri kesan yang baik kepada ekonomi umat Islam.

.

Kenapa Orang Islam Mengalami Masalah Pusaka?

PERSEPSI

Antara tanggapan yang selalu saya dengar:

  1. Pewarisan harta dibuat bila dah mati sahaja.
  2. Agih harta pakai cakap sahaja sudah memadai.
  3. Semua waris boleh berbincang dengan baik.
  4. Dah ada FARAID tak perlu buat apa lagi.
  5. Dah buat wasiat selesai.
  6. Penama / pentadbir adalah pemilik harta simati.
  7. Pihak kerajaan harus permudahkan.

.

REALITI

Ramai INGAT pewarisan harta bila dah mati sahaja.

Memang benar, pengagihan harta berlaku selepas seseorang meninggal dunia, tetapi segala kesukaran biasanya berpunca daripada apa yang tidak dilakukan semasa hidup.

Itulah antara sebab utama banyak harta masih gagal dipindahkan kepada waris yang berhak walaupun sudah bertahun-tahun berlalu.

Sebenarnya, perancangan harta boleh dan perlu dibuat semasa hidup, supaya ia tidak menjadi fitnah kepada waris dan supaya hasrat kita untuk menjaga kebajikan orang tersayang terlaksana dengan baik.

Perancangan ini boleh dilakukan melalui instrumen yang tepat, sah dari segi undang-undang dan patuh Syariah, mengikut situasi serta keperluan setiap individu.

Hakikatnya, kematian tidak menunggu usia tua atau tanda sakit.
Ia boleh datang dalam pelbagai keadaan, ketika sihat, ketika sibuk bekerja, malah ketika kita sedang merancang sesuatu yang baik.

Ramai yang saya temui berniat untuk merancang, tetapi menangguh kerana merasakan masih ada masa.
Sayangnya, sebahagian daripada mereka tidak sempat memulakan langkah pertama.

Rancanglah sekarang, selagi masa, tenaga dan fikiran masih mengizinkan.

Kerana apabila seseorang meninggal dunia, proses pewarisan bukan lagi semudah mengisi borang.
Ia melibatkan pelbagai dokumen, prosedur, dan kadangkala perbezaan pendapat antara waris.

Sedangkan satu perancangan kecil hari ini boleh memudahkan perjalanan waris anda bertahun-tahun kemudian dan menjadi amal jariah yang terus mengalir walau setelah kita tiada.

.

Agih harta pakai cakap sahaja sudah memadai.

Ramai masih beranggapan bahawa pengagihan harta boleh dibuat dengan cakap sahaja, tanpa sebarang bukti atau dokumen rasmi.

Hakikatnya, pada masa kini setiap tuntutan berkaitan harta perlu disokong dengan bukti dan dokumentasi yang sah. Tanpa dokumen yang boleh dibawa ke mahkamah, apa jua pengakuan lisan boleh dipertikaikan dan mudah dinafikan oleh pihak lain.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan harta pusaka umat Islam, kerana setiap instrumen perancangan, sama ada hibah, wasiat, atau amanah, mempunyai rukun dan syarat sah tertentu. Kesahihan dan pelaksanaannya pula berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah atau sivil.

Oleh itu, mendokumentasikan perancangan harta bukan sekadar formaliti, tetapi langkah penting untuk melindungi hasrat sebenar pemilik harta sekiranya berlaku pertikaian di kemudian hari.

Dalam merancang, kita perlu mengambil kira kemungkinan terburuk, termasuk jika keabsahan dokumen dipersoalkan oleh waris atau pihak lain.

Sebab itu, dokumentasi perancangan mestilah dibuat dengan pihak yang berpengalaman, berkelayakan, dan diiktiraf kredibilitinya oleh institusi kehakiman. Hanya dengan cara itu, dokumen yang disediakan benar-benar kuat dan boleh dipertahankan di sisi undang-undang sivil dan Syariah.

.

Semua waris boleh berbincang dengan baik.

Ramai yang ingat semua waris boleh berbincang dengan baik.

Sementara pemilik harta masih hidup, semuanya nampak akrab, saling hormat, saling tolong-menolong.
Tapi sebaik sahaja pemilik pergi, barulah wajah sebenar mula tersingkap.

Apa yang dulu disimpan dalam hati mula terluah;
ada hati yang terluka,
ada ego yang meninggi,
ada dendam lama yang menyala semula.

Jangan pandang ringan soal harta pusaka.
Ia mampu mengubah kasih menjadi pertikaian,
dan adik-beradik menjadi lawan di mahkamah.

Itulah sebabnya perancangan semasa hidup bukan sekadar pilihan,
ia adalah pelindung hasrat dan hubungan yang terbina

Jangan biarkan harta yang kita kumpul menjadi punca fitnah di kalangan waris.

Sebaiknya jadikan ia “unfair advantage”,
iaitu kelebihan yang membantu waris kita bermula beberapa langkah lebih hadapan daripada orang lain,
supaya mereka dapat meneruskan kebaikan yang kita tinggalkan.

.

Dah ada FARAID tak perlu buat apa lagi.

Ramai yang ingat, bila dah ada faraid, tak perlu buat apa-apa lagi. Ada badan berautoriti akan hubungi untuk mulakan urusan.

Tapi realitinya, harta pusaka tidak akan diagihkan secara automatik.

Warislah yang perlu menguruskannya, daripada mengumpul dokumen, membuat tuntutan, menghadiri perbicaraan, hinggalah memastikan setiap waris menerima bahagian yang berhak.

Dalam proses itu, ada hutang yang perlu dilangsaikan, ada tuntutan yang perlu ditolak dahulu, dan ada urusan perbicaraan yang menuntut kesabaran, kefahaman, serta amanah.

Ia bukan kerja sehari dua.
Ia memerlukan masa, tenaga, kos, pengetahuan, kejujuran, komunikasi, dan kerjasama antara semua waris.

Malangnya, tak semua waris sanggup beri komitmen.
Ada yang lepas tangan,
ada yang mengambil kesempatan menuntut apa yang bukan haknya,
ada pula yang membiarkan urusan pusaka terbiar bertahun-tahun lamanya,
dan ada yang mengharap dapat memanfaatkannya segera, menanti tanpa kepastian,
hingga waris asal meninggal, waris jadi berlapis-lapis, menambah waris sedia ada.

Akhirnya, proses jadi semakin rumit, semakin jauh dari penyelesaian.

Harta sepatutnya suatu kelebihan, berubah menjadi beban.
Harta yang sepatutnya menjadi amal jariah, berubah menjadi sumber dosa,
apabila hak faraid tidak ditunaikan dan waris berdiam diri dalam kezaliman yang berpanjangan.

Sebab itulah perancangan semasa hidup bukan sekadar untuk memudahkan dan percepatkan urusan,
tapi juga untuk menyelamatkan waris, menjaga keharmonian, dan memastikan harta yang kita tinggalkan menjadi sebab pahala, bukan punca sengketa.

.

Buat wasiat selesai.

Ramai yang beranggapan bahawa membuat wasiat sudah memadai untuk menyelesaikan urusan pewarisan harta.

Namun bagi orang Islam, pembahagian harta kepada waris tidak boleh semata-mata ditentukan melalui wasiat.

Menurut hukum Syariah, wasiat kepada waris faraid boleh terbatal sekiranya mana-mana waris tidak bersetuju selepas pemilik meninggal dunia.

Hanya wasiat kepada bukan waris faraid yang wajib dilaksanakan, itu pun terhad kepada satu pertiga (1/3) daripada jumlah harta pusaka, selepas ditolak hutang dan tanggungan.

Oleh sebab itu, wasiat bukan satu-satunya instrumen pewarisan, dan ia tidak sesuai untuk semua situasi.

Ada kaedah lain yang boleh digunakan untuk merealisasikan hasrat pemilik harta dengan lebih tepat dan menyeluruh, antaranya hibah, pemegang amanah (trust) atau penstrukturan aset secara berlapis (multi-instrument planning).

Setiap instrumen mempunyai tujuan dan implikasi undang-undang yang berbeza.
Maka, langkah paling bijak ialah mendapatkan konsultasi pewarisan bagi mengenal pasti gabungan kaedah yang paling sesuai dengan keadaan dan matlamat anda.

Dengan perancangan yang betul, setiap aset akan sampai kepada penerima yang dihasratkan.

.

Penama wasi / pentadbir adalah pemilik harta simati?

Ramai yang masih beranggapan bahawa penama wasi atau pentadbir adalah pemilik kepada harta si mati.

Hakikatnya, bagi orang Islam, penama atau wasi bukanlah penerima mutlak harta tersebut, tetapi sekadar pemegang amanah yang bertanggungjawab mengurus dan mengagihkan harta kepada waris yang berhak mengikut hukum Syariah.

Penamaan wasi atau pentadbir membolehkan pengeluaran simpanan seperti KWSP, Tabung Haji, koperasi, atau pampasan takaful/insurans dilakukan dengan lebih cepat, tanpa perlu menunggu proses Surat Kuasa Mentadbir.

Namun, wang atau aset yang dikeluarkan itu bukan milik peribadi wasi, sebaliknya mesti diagihkan kepada waris mengikut bahagian faraid yang telah ditetapkan.

Pentadbir pula ialah wakil yang diamanahkan untuk mengurus keseluruhan harta pusaka si mati bagi pihak semua waris, termasuk urusan hutang, cukai, pendaftaran pemilikan aset dan pembahagian sebenar kepada waris.

Sekiranya wasi atau pentadbir gagal menunaikan tanggungjawab dengan amanah, waris berhak mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan hak mereka.

Oleh itu, pemilik harta disarankan melibatkan pihak profesional yang berkecuali, berpengetahuan dalam hukum Syariah, dan diiktiraf kredibilitinya untuk membimbing waris serta pentadbir.

Langkah ini membantu mempercepat urusan, menjamin keadilan, dan mengekalkan keharmonian antara waris.

.

✳️ Pernahkah anda terfikir…
Siapakah yang akan menguruskan rumah, tanah, kenderaan, pelaburan, dan aset lain yang tiada penama apabila anda tiada nanti?

Adakah anda sudah melantik pentadbir yang anda percayai untuk memastikan semua itu diurus dengan betul, telus dan mengikut Syariah?

Jika belum, inilah masa terbaik untuk bermula.

Kerana satu lantikan yang dibuat dengan bijak hari ini, boleh menyelamatkan waris anda daripada bertahun-tahun kesulitan di kemudian hari.

.

Pihak kerajaan harus permudahkan

Ramai yang dengan mudah menuding jari kepada pihak kerajaan apabila berdepan kesukaran mengurus harta pusaka, dengan alasan undang-undang dan prosedurnya terlalu rumit hingga menyukarkan waris menuntut hak masing-masing.

Tahun demi tahun terdapat banyak perubahan yang diusahakan institusi berkaitan, bagi memperkemas proses pentadbiran harta pusaka, menyesuaikan sistem dengan keupayaan mayarakat menggunakan teknologi semasa dan memastikan hak semua waris terpelihara.

Prosedur yang kelihatan panjang sebenarnya bertujuan melindungi kepentingan semua waris, agar tidak ada yang tertindas atau dinafikan haknya. Jika ia terlalu dipermudahkan tanpa semakan dan bukti yang kukuh, kesannya mungkin lebih buruk, menimbulkan pertikaian baharu atau ketidakadilan dalam agihan harta.

Ada kajian menunjukkan bahawa pertelingkahan sesama waris masih menjadi antara faktor utama kelewatan dalam mengemukakan tuntutan pusaka.

Dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, hubungan kekeluargaan yang makin longgar, serta sikap masyarakat yang semakin lantang dalam menuntut hak, isu pusaka kini menjadi semakin kompleks.

Selain itu, ramai waris terlalu sibuk dengan urusan harian, menjadikan proses tuntutan pusaka sering ditunda kerana bergantung pada kelapangan masing-masing, walaupun mungkin sudah berbincang.

Jika kita pernah melalui situasi begini, ia seharusnya menjadi pengajaran berharga, agar kita menilai dengan lebih jelas, apa yang boleh kita kawal dan apa yang berada di luar kawalan dalam urusan harta pusaka yang bakal ditinggalkan nanti.

Antara langkah bijak yang boleh diambil ialah menyediakan pihak pakar yang boleh membimbing waris dalam urusan pentadbiran, serta menyusun dokumentasi perancangan pembahagian harta mengikut kaedah yang sah di sisi undang-undang dan selaras dengan hukum Syarak.

Pihak Kerajaan Harus Permudahkan Urusan Pusaka. Tapi Tanggungjawab Bermula Dengan Kita.

.

.

JENIS HARTA DALAM PERANCANGAN PEWARISAN

Dalam perancangan harta, penting untuk mengenal pasti jenis-jenis aset yang dimiliki, kerana cara pengurusannya selepas kematian adalah berbeza.

Secara umumnya, harta boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama:

.

Harta Berpenama (Berdaftar)

Aset yang mempunyai penama rasmi semasa pemilik masih hidup, seperti:
KWSP, Tabung Haji, koperasi, akaun takaful atau insurans.

Namun, tidak semua penama sama fungsinya.

Bagi orang Islam, ada dua jenis penamaan yang perlu dibezakan:

.

👉 Penama Wasi (Pemegang Amanah)

  • Penama hanya sebagai pentadbir / pemegang amanah, bukan penerima mutlak. Selepas kematian, penama perlu mengeluarkan wang dan mengagihkannya mengikut hukum Syariah.
  • Digunakan oleh institusi seperti KWSP, Tabung Haji, koperasi, takaful, insuran.
  • Tujuannya ialah untuk memudahkan pengeluaran wang tanpa perlu menunggu Surat Kuasa Mentadbir.
  • Jika penama menggunakan wang itu untuk diri sendiri, ia dikira tidak amanah dan waris lain boleh mengambil tindakan undang-undang.

.

👉 Penama Hibah (Penerima manfaat)

  • Dalam kategori ini, penama dilantik sebagai penerima manfaat. Wang atau manfaat tersebut menjadi hak milik penama apabila pemilik meninggal dunia.
  • Digunakan dalam pelan takaful hayat / keluarga, dan kini juga ditawarkan oleh beberapa institusi seperti Tabung Haji & ASNB.
  • Wang manfaat tidak dikira sebagai harta pusaka.

.

Sebelum membuat penamaan, semak semula jenis penamaan yang anda pilih, adakah ia penama wasi atau penama hibah.

Ramai tidak sedar bahawa perbezaan satu perkataan sahaja boleh menentukan sama ada manfaat itu perlu diagih kepada semua waris atau menjadi hak penerima.

Dapatkan nasihat daripada perunding pewarisan bertauliah untuk memastikan penamaan yang dibuat benar-benar selaras dengan niat dan hukum.

.

Harta Tidak Berpenama (Berdaftar)

Aset yang berdaftar di bawah nama pemilik tetapi tiada penama rasmi, contohnya rumah, tanah, kenderaan, akaun bank, saham, unit amanah, perniagaan, serta akaun digital seperti pelaburan online, eWallet dan kripto.

Pemindahan pemilikan harta jenis ini tidak boleh dilakukan semudah harta berpenama.
Selepas pemilik meninggal dunia, harta-harta ini akan dibekukan sementara sehingga proses pentadbiran pusaka diselesaikan.

Waris perlu mengumpulkan semua dokumen berkaitan, seperti geran tanah, penyata bank, sijil saham dan sebagainya, sebelum mengemukakan tuntutan rasmi kepada institusi berkenaan.

Seterusnya, pihak berkuasa seperti Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad akan memproses pembahagian harta tersebut, sama ada mengikut hukum faraid atau berdasarkan persetujuan bersama (muafakat waris).

Setelah urusan perbicaraan selesai, Perintah Pembahagian Pusaka akan dikeluarkan sebagai bukti rasmi.
Barulah proses turun milik dan pindah hak boleh dilakukan di institusi berkaitan setiap harta tersebut.

Keseluruhan proses ini bertujuan memastikan setiap hak waris dan pihak yang terlibat terpelihara, serta mengelakkan pertikaian dan pengambilan hak secara tidak sah.

Oleh itu, perancangan awal semasa hidup amat digalakkan supaya waris tidak terbeban dengan proses yang panjang dan kompleks ini.

.

Harta Tidak Berdaftar

Harta tidak berdaftar ialah aset yang tidak mempunyai rekod pemilikan rasmi di mana-mana agensi atau institusi.

Contohnya termasuk emas, barang kemas, koleksi peribadi, barangan antik, hasil seni, simpanan tunai, atau aset sentimental yang mempunyai nilai.

Harta jenis ini tidak memerlukan proses perundangan seperti harta berdaftar, namun ia tetap tergolong sebagai harta pusaka yang perlu diagihkan kepada semua waris mengikut hukum faraid.

Ramai terlepas pandang bahawa walaupun tiada sijil atau dokumen rasmi, nilai dan hak terhadap harta ini tetap sah di sisi Syariah.

Oleh itu, cara pembahagiannya perlu dipersetujui oleh semua waris, supaya hak setiap pihak terpelihara, dan tidak berlaku situasi di mana seseorang menikmati manfaat harta tanpa hak, sedangkan waris lain menanggung rasa tidak reda atau teraniaya.

Sebagai langkah perancangan semasa hidup, senaraikan terlebih dahulu semua harta tak berdaftar, daripada yang bernilai kecil sehinggalah yang bernilai tinggi.

Kemudian, rancang bagaimana ia sepatutnya diurus atau dibahagi selepas ketiadaan anda. Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Mengekalkan harta asal, dengan memilih siapa dalam kalangan waris yang akan memiliki dan menggunakannya.
  • Menukarkan harta tersebut kepada nilai tunai (menjualnya) kepada waris yang ingin memilikinya, dan menggantikan bahagian waris lain yang dilepaskan.
  • Menjual harta tersebut dan membahagikan hasil jualan kepada semua waris yang berhak.
  • Menyedekahkan harta tersebut sebagai amal jariah atau pahala yang berterusan bagi pihak si mati.

Perancangan awal semasa hidup amat penting untuk mengelakkan perkara ini berlaku, dengan menyenaraikan, mendokumenkan dan menjelaskan hasrat pemilikan setiap harta tidak berdaftar yang bernilai, agar ia tidak menjadi seperti harta karun yang direbut dalam rumah sendiri.

.

.

.

.

.

.

HAK PUSAKA

Setiap harta yang ditinggalkan selepas kematian bukan sekadar nilai material, ia mengandungi hak yang mesti ditunaikan kepada waris yang berhak.

Bab ini menghuraikan siapa sebenarnya waris yang layak, serta tertib dan proses pengurusan harta pusaka mengikut Syariah.

.

Siapa sebenarnya waris faraid yang berhak?

Ramai menyangka pembahagian faraid mudah kerana “dah ada formula siap”.

Hakikatnya, senarai waris yang berhak berubah-ubah mengikut keadaan sebenar.
Siapa yang masih hidup, siapa yang meninggal dahulu, dan pertalian sah yang wujud, semuanya mempengaruhi siapa sebenarnya yang layak menerima bahagian.

Dalam hukum faraid, waris dibahagikan kepada tiga kumpulan utama:

  1. Ashabul Furud (Waris fardu) – mereka yang telah ditetapkan bahagiannya secara jelas oleh syarak, seperti suami atau isteri, ibu bapa, dan anak perempuan.
  2. Asobah – waris yang menerima baki harta selepas Ashabul Furud mengambil bahagian masing-masing, contohnya anak lelaki, saudara lelaki, atau bapa saudara.
  3. Dhawil-Arham – waris sisi yang mempunyai pertalian darah tetapi bukan dalam kategori fardu atau asobah, seperti cucu daripada anak perempuan, anak saudara perempuan, atau ibu saudara sebelah ibu.

.

Sekiranya si mati tidak meninggalkan waris fardu dan asobah, maka harta boleh diagihkan kepada Dhawil-Arham mengikut hubungan yang paling hampir.

Namun jika tiada langsung waris daripada ketiga-tiga kategori ini, harta peninggalan akan diserahkan kepada Baitulmal, iaitu perbendaharaan umat Islam untuk dimanfaatkan kepada fakir miskin, pendidikan dan kebajikan awam.

Ini menunjukkan bahawa tiada satu pun harta umat Islam yang akan terbiar tanpa pemilik.

Sama ada diagihkan kepada waris, atau disalurkan kepada kemaslahatan umat, semuanya tetap menjadi sumber pahala dan keberkatan kepada si mati, asalkan diurus dengan tertib dan mengikut hukum Syariah.

Oleh itu, mengetahui situasi waris ketika hidup memberi kelebihan besar kepada pemilik harta.

Ia membolehkan kita merancang pewarisan dengan lebih bijak, bagaimana harta boleh dimanfaatkan secara adil dan mengikut hasrat kita, sama ada untuk keluarga, kebajikan, atau pelaburan akhirat.

Dengan perancangan yang baik, setiap aset bukan sekadar peninggalan, tetapi menjadi warisan manfaat dan keberkatan buat generasi seterusnya.

.

Turutan Urus Harta Pusaka

Ramai beranggapan semua harta si mati perlu dibahagi antara waris, sedangkan tidak semua harta termasuk dalam kategori harta pusaka.

Antara harta yang tidak termasuk dalam harta pusaka ialah:

  • Harta yang telah diberikan (hibah) atau dijual semasa hayat pemiliknya.
  • Harta yang telah diwakafkan.
  • Khairat kematian daripada majikan atau institusi.
  • Harta yang dipegang oleh si mati sebagai amanah untuk orang lain.
  • Pencen dan pencen terbitan, ganjaran perkhidmatan, serta bayaran di bawah Akta PERKESO 1969.
  • Pemberian kecil daripada mereka yang menziarahi si mati.

.

Harta yang menjadi pusaka ialah semua harta milik si mati selepas ditolak:

  1. Kos pengurusan jenazah,
  2. Hutang dan liabiliti, termasuk hutang terhadap Allah seperti zakat, fidyah, nazar dan badal haji,
  3. Harta sepencarian yang dituntut dan ditentukan oleh mahkamah,
  4. Wasiat sah (maksimum 1/3 daripada baki harta kepada bukan waris), dan
  5. Harta yang telah dihibahkan atau diletakkan dalam amanah semasa hidup.

.

Baki harta selepas semua penolakan inilah yang dinamakan harta pusaka bersih,
iaitu harta yang kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Selepas mengetahui bahagian masing-masing, dan dengan persetujuan semua pihak,
waris boleh berbincang untuk melepaskan hak, membuat rundingan, atau melaksanakan pembahagian secara muafakat.

.

Semoga maklumat ini dapat memberikan kejelasan kepada anda tentang bagaimana perancangan pewarisan harta boleh disusun dengan sah, patuh Syariah dan selaras dengan hasrat anda.

.

.

.

.

TEMUJANJI PERANCANGAN PEWARISAN

.

Orang dulu banyak tanah,
orang sekarang banyak karenah.

Sepatutnya harta makin bergenerasi makin bertambah,
tapi realitinya, urusan pusaka datuk pun belum selesai,
salahkan kerajaan, salahkan orang,
sedangkan diri sendiri pun belum sedia memudahkan waris untuk merancang.

.

Dari Sedar Kepada Bertindak

Ramai yang sudah sedar tentang kepentingan merancang pewarisan,
tetapi berhenti di tahap pengetahuan,
belum melangkah ke tindakan sebenar.

Sedangkan, perkara yang paling penting untuk diri dan keluarga selalunya
ialah perkara yang paling kita tangguh.

Sementara masih sihat dan berdaya,
inilah masa terbaik untuk menyusun semula harta dan tanggungjawab,
agar waris tidak terbeban dengan urusan yang panjang dan bercelaru nanti.

.

Kesan Menangguh (Cost of Procrastination)

Menangguh bermakna memberi ruang kepada ketidakpastian.

Antara kesan biasa bila tidak bertindak lebih awal:

🔸 Kos meningkat.
Dahulu mungkin kos dokumen lebih rendah, hari ini makin bertambah seiring kenaikan caj, yuran guaman dan peraturan baharu.

🔸 Syarat jadi lebih ketat.
Apa yang mudah dilaksanakan sekarang, mungkin akan memerlukan proses tambahan atau dokumen sokongan pada masa hadapan.

🔸 Keadaan kewangan berubah.
Hari ini mungkin mampu, esok belum tentu. Bila ekonomi menekan, keutamaan lain mula mengambil tempat.

🔸 Kesihatan tidak dijamin.
Bila jatuh sakit atau disahkan penyakit kritikal, status maradul maut boleh menyebabkan hibah tidak lagi sah atau ditangguhkan.

🔸 Masa semakin sibuk, peluang semakin sempit.
Semakin lama ditunda, semakin sukar mencari ruang untuk selesaikan hal penting ini.

🔸 Makin jauh, makin lupa.
Semakin lama kita bertangguh, semakin pudar kesedaran tentang pentingnya merancang. Apa yang dulu terasa mendesak, lama-kelamaan hilang dari keutamaan — sehingga kita terlupa bahawa waktu tidak menunggu.

 

.

Apa Sebenarnya Yang Dirancang Dalam Pewarisan?

Perancangan pewarisan bukan sekadar menulis wasiat atau membuat hibah.
Ia adalah rangka menyeluruh bagaimana aset dan tanggungjawab kita akan diteruskan dengan adil dan berkat.

Perunding pewarisan harta Islam membantu anda:

  • ✅ Kenal pasti jenis harta & waris – agar tiada aset terabai.
  • ✅ Rancang pentadbiran pusaka – supaya harta tidak beku, urusan tidak bertindih.
  • ✅ Lantik pentadbir / wasi yang amanah dan sah.
  • ✅ Susun hibah, amanah dan wasiat mengikut hasrat serta hukum Syariah.
  • ✅ Rancang dana pelunasan hutang & sara hidup tanggungan.
  • ✅ Perincikan pesanan, amanah dan agihan khas.
  • ✅ Atur pewarisan perniagaan & syarikat keluarga.
  • ✅ Rancang amal jariah & legasi kebajikan berterusan.

.

Pewarisan Perniagaan & Legasi Korporat

“Apabila pemilik tiada, adakah perniagaan mampu bertahan tanpa dia?”

Itulah soalan paling besar bagi usahawan dan pemilik syarikat.

Dalam banyak kes, perniagaan terhenti kerana tiada pelan pewarisan korporat.
Pegangan saham dibekukan, akaun syarikat tak boleh diakses, keputusan tergantung, sedangkan pekerja dan pelanggan masih bergantung kepada operasi harian.

Perunding pewarisan boleh membantu anda:

  • Menentukan siapa yang akan meneruskan kepimpinan & pemilikan syarikat.
  • Menyusun struktur saham & hibah saham agar kesinambungan perniagaan terjamin.
  • Melindungi kepentingan rakan kongsi (business partner) melalui pelan amanah & takaful waris syarikat.
  • Merancang peralihan kuasa (succession planning) supaya bisnes kekal stabil walaupun pemilik sudah tiada.

Dengan perancangan yang betul, perniagaan anda bukan sahaja kekal hidup,
tetapi terus berkembang menjadi legasi keluarga dan manfaat masyarakat.

.

Langkah Kecil Hari Ini, Ketenangan Besar Esok

Ya, perancangan pewarisan nampak berat di awalnya,
tetapi dengan bimbingan perunding berpengalaman,
ia boleh jadi mudah, tersusun dan penuh keberkatan.

Rancang sekarang, selagi masih ada masa, tenaga dan akal yang sihat.

Kerana harta yang dirancang menjadi pahala,
tetapi harta yang diabaikan boleh menjadi fitnah.

.

.

Ingin saya bantu merancang pewarisan harta anda?

Saya Mohd Syamsul,
Perunding Pewarisan Harta Islam di bawah Kausar Group, agensi No.1 bagi Syarikat Amanah Wasiyyah Shoppe Berhad.

Saya juga merupakan Perunding Kewangan Islam bertauliah, berlesen di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).Ahli aktif Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC), serta pemegang kelayakan profesional Shariah Registered Financial Planner (RFP).

Berlatarkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Diploma Kejuruteraan Awam, saya memilih untuk berkhidmat dalam bidang kewangan Islam kerana percaya 

“Mereka yang bijak memahami destinasi akhir, supaya setiap langkah yang diambil menuju ke arah yang betul.”
(Begin with the End in Mind – Stephen R. Covey)

Saya telah menjalani latihan komprehensif bersama Wasiyyah Shoppe Berhad dan Kausar Group, serta aktif dalam program pembangunan kepimpinan, pembelajaran berterusan dan bimbingan perunding baharu.

Kini saya berperanan membantu umat Islam yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap pengurusan harta, agar:

  • urusan pewarisan menjadi mudah,

  • hak waris terpelihara, dan

  • setiap harta yang ditinggalkan menjadi sumber manfaat, bukan punca konflik. ❤️

.

.

Saksi sendiri perbicaraan

Saya berpeluang menyaksikan sendiri perbicaraan sebenar di Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan, serta mengikuti taklimat khas bersama pihak kehakiman syariah mengenai peranan institusi dalam mengurus dan mengesahkan dokumen pewarisan.

Pengalaman ini membuka mata, bagaimana dokumen hibah hartanah yang masih dalam pembiayaan boleh dibicarakan dan diterima dengan meyakinkan, asalkan cukup rukun dan syarat sah serta disediakan dengan dokumentasi yang betul.

Ia membuktikan bahawa dalam urusan pewarisan, ketepatan dokumen dan kredibiliti pihak penyedia memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan hasrat pewakaf atau penghibah diiktiraf dan dilaksanakan dengan sah di sisi undang-undang Syariah dan sivil.

.

.

Sebahagian gambar bersama pelanggan

dan banyak lagi..

.

Apa kata waris













.

Penutup & Langkah Seterusnya

Kita semua berdoa agar pengakhiran hidup dalam husnul khatimah —
bukan sekadar meninggalkan nama yang baik,
tetapi juga urusan yang teratur dan waris yang tenang.

Jangan biarkan harta yang kita kumpul menjadi beban kepada keluarga yang kita sayangi.
Rancanglah agar ia menjadi sumber manfaat dan pahala yang berpanjangan.

Sama seperti bila kita sakit, kita tak terus beli ubat.
Kita jumpa doktor dulu untuk diagnosis, barulah rawatan yang sesuai diberikan.

Dalam perancangan harta, saya lakukan perkara yang sama:

  • 1️⃣ Saya dengar & faham situasi anda dulu.
  • 2️⃣ Saya jelaskan pilihan solusi terbaik berdasarkan syariah & undang-undang.
  • 3️⃣ Saya bantu sediakan dokumen yang sah dan mudah dilaksanakan oleh waris nanti.

.

Itulah sebabnya perbincangan awal sangat penting.
Bukan soal “hibah berapa harga,” tetapi soal “apa sebenarnya yang perlu dibuat supaya harta anda selamat sampai kepada yang berhak.”

.

Jika anda ingin mendapatkan sesi konsultasi 1-on-1 bersama saya:

Pilihan sesi penerangan:

  1. Secara online (Zoom)
  2. Di pejabat agensi kami di Kota Damansara
  3. Atau di pejabat / rumah anda

.

👉 Klik pautan di bawah untuk tempah sesi anda sekarang:

.

.

 

TEMUJANJI PERANCANGAN PEWARISAN
WASAP

Mohd Syamsul
Perunding Pewarisan Harta Islam
Kausar Group, Agensi no 1, Syarikat Amanah, Wasiyyah Shoppe Berhad

Bantu ummah rancang pewarisan agar waris senang, kita pun tenang. ❤️

 

in Uncategorized

Produk Pewarisan

  • Al-Wasitah
  • Dokumen Perlantikan Wasi
  • Klausa Pembahagian Harta
  • Klausa Pesanan
  • Dokumen Wasiat 1/3
  • Dokumen Pengisytiharan Harta Sepencarian
  • Pentadbir Felda
  • Dokumen Pengistiharan Hibah Hartanah
  • Hibah Kenderaan
  • Hibah Saham Koperasi
  • Hibah GSA
  • Surat Persetujuan Keluarga
  • Hibah Akaun Bersama
  • Hibah Perlindungan Takaful
  • Hibah Tabung Haji
  • Hibah Unit Amanah
  • Hibah Amanah Hartanah Berhad
  • Hibah Private Mandate
  • Hibah Barang Bernilai
  • Hibah Akaun CDS
  • Hibah Akaun ASB
  • Surat Ikatan Amanah
  • Hibah Akuan Simpanan
  • Hibah Akuan Pelaburan Emas
  • Pengurusan Harta Pusaka
  • Amanah Ri’ayah
  • Amanah Nawfal
  • Amanah Tujjar
  • Amanah Hartanah
  • Hibah Saham Syarikat
  • Family Trust Al-Mutahabbah
  • Dana Lestari melalui Takaful
  • Produk perkhidmatan lain

Baca juga

  • PERANCANGAN PEWARISAN HARTA ISLAM
  • DAH MATI FARAID JE LAH .. APA SUSAH !
  • Kita sebenarnya meninggalkan beban kepada waris, tanpa disedari
  • Seorang isteri yang kematian suami
  • Golongan kritikal perlu buat hibah hartanah
  • HIBAH HARTA MASIH DALAM PEMBIAYAAN BANK (BERCAGAR)
  • Penyelidikan ilmiah hibah hartanah bercagar
  • SAYA DAH BUAT HIBAH TAKAFUL UNTUK ISTERI DAN ANAK ANAK, CUKUP LAH
  • BERDOSAKAH AKU BILA MEMBUAT HIBAH ? (Bahagian 1)

Testimoni

  • Demi kebajikan anak-anak dan diri sendiri
  • Merancang harta bagi memudahkan waris
  • Tak sangka sangat adik beradik saya jadi macam ni
  • Agama bukan penghalang untuk mewarisi
  • AL WASITAH Pelihara Harta, Kasihi Waris
  • Kembara sembang pusaka Alor Setar
  • Kembara sembang pusaka Kota Bharu
  • Kembara sembang pusaka Johor

Isu Pusaka

  • Belasah adik kerana harta
  • Rebut harta pusaka
  • Mama pesan jangan bergaduh, rebut harta
  • Ibu Allahyarham Jamaludin saman 2 cucu tuntut harta pusaka
  • RM60b harta umat Islam tidak dituntut
  • Maut kerana harta pusaka
  • Mangsa Simbah Asid Oleh Keluarga Sendiri Tuntut Bela Selepas 6 Tahun

copyright 2014 - Duniasaya.net

HOME // SUPPORT // TERMS AND CONDITIONS // FAQS // CONTACT US
designed by Syamz Maksimas