Ramai isteri diluar sana sangka rumah itu akan bertukar jadi milik isteri sepenuhnya.
Tetapi realitinya tak begitu.
Untuk orang Islam, jika rumah tersebut tiada perancangan dibuat semasa hidup, pembahagiannya tertakluk kepada hukum faraid.
Saya petik dari artikel Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan :
.
.
Sebagai contoh, suami ada sebuah rumah.
Nilai rumah: RM500,000
Hak milik: 100% atas nama suami
Status: Masih dalam pembiayaan
Katakan suami meninggal dunia dengan keadaan berikut:
- Tiada anak.
- Ibu dan bapa telah meninggal dunia.
- Datuk dan nenek juga telah meninggal dunia.
- Waris yang masih hidup ialah seorang isteri serta dua orang adik lelaki dan dua orang adik perempuan.
Dalam keadaan ini, isteri dan adik-beradik suami juga merupakan waris faraid yang berhak menerima bahagian masing-masing.
.
Berapakah Bahagian Isteri?
Bahagian faraid isteri ialah 1/4 daripada harta pusaka.
Daripada nilai rumah RM500,000, bahagian isteri ialah:
1/4 × RM500,000 = RM125,000
.
Ramai yang terkejut apabila mengetahui perkara ini.
Walaupun:
- isteri tinggal di rumah tersebut,
- isteri menjaga suami ketika sakit,
- isteri membantu membayar bil-bil keperluan atau ansuran rumah,
ia tidak menjadikan keseluruhan rumah itu milik isteri.
.
Bagaimana Dengan Harta Sepencarian?
Sebelum pembahagian faraid dibuat, pasangan boleh tuntut harta sepencarian. Pasangan perlu buat tuntutan melalui proses di Mahkamah Syariah.
Berapa yang dapat?
Ia bergantung kepada fakta kes, sumbangan yang dapat dibuktikan serta keputusan Mahkamah Syariah.
Kalau tiada tuntutan harta sepencarian dibuat, siapa pula akan dapat baki RM375,000 itu?
.
Bagaimana Bahagian Adik-Beradik Suami?
Dalam contoh ini, mereka menerima sebagai asabah, iaitu:
- Lelaki menerima dua bahagian.
- Perempuan menerima satu bahagian.
.
Pembahagiannya menjadi:
- Adik lelaki pertama: RM125,000
- Adik lelaki kedua: RM125,000
- Adik perempuan pertama: RM62,500
- Adik perempuan kedua: RM62,500
Fuh banyak tu. Agak-agak mereka nak lepaskan tak? Sedangkan itu memang hak mereka mengikut faraid.
Selepas Pendengaran Petisyen di hadapan Pegawai Pembahagian Harta Pusaka selesai, Pegawai Pembahagian akan mengeluarkan dokumen yang dipanggil Perintah Pembahagian. Di dalam Perintah Pembahagian inilah dinyatakan nama setiap waris serta bahagian masing-masing.
Selepas itu, Perintah Pembahagian tersebut akan digunakan untuk urusan pendaftaran hak milik di Pejabat Tanah dan Galian atau Pentadbir Tanah Daerah, bergantung kepada jenis hak milik tanah.
Ini bermaksud rumah yang asalnya dimiliki oleh seorang pemilik sahaja menjadi hak bersama lima orang waris.
.
Cabaran Yang Selalu Berlaku
Bagi wang tunai atau aset cair, pembahagian biasanya lebih mudah.
Tetapi bagi rumah atau tanah, cabarannya jauh lebih besar.
- Siapa berhak tinggal di rumah itu?
- Jika hendak dijual, adakah semua waris bersetuju?
- Siapa akan membayar ansuran, cukai dan kos penyelenggaraan?
- Bagaimana jika ada waris mahu menjual tetapi ada yang mahu menyimpan?
.
Apabila sebuah rumah dimiliki oleh beberapa orang, keputusan dan tanggungjawab terhadap rumah itu tidak lagi terletak pada seorang isteri sahaja.
Setiap waris mempunyai hak, agenda dan masalah tersendiri. Sebab itulah konflik boleh berlaku dan berpanjangan.
.
Bagaimana Jika Isteri Mahu Memiliki Keseluruhan Rumah?
Isteri boleh tuntut harta sepencarian dahulu.
Katakan Mahkamah Syariah memutuskan isteri berhak menerima 50% bahagian harta tersebut sebagai harta sepencarian.
Maka hanya baki 50% sahaja menjadi harta pusaka yang akan difaraidkan.
.
Dalam contoh rumah bernilai RM500,000 ini.
- Harta sepencarian isteri: RM250,000
- Bahagian faraid isteri (1/4 daripada baki RM250,000): RM62,500
Jumlah keseluruhan hak isteri menjadi:
RM250,000 + RM62,500 = RM312,500
Baki yang menjadi hak waris lain ialah RM187,500.
Jadi, jika mahu memiliki keseluruhan rumah, isteri perlu menebus bahagian waris lain, jika mereka bersetuju.
Dalam contoh ini, sebanyak RM187,500.
.
Bukan itu sahaja. Setiap isteri wajar ambil kira dan bersedia dengan kos seperti:
- Kos guaman untuk tuntutan harta sepencarian. Anggaran 3 ribu ke 10 ribu (bergantung kepada peguam dan kerumitan kes).
- Kos baki pembiayaan bank sekiranya belum langsai atau tak langsai sepenuhnya oleh takaful MRTT.
- Kos pengurusan pusaka.
- Kos masa dan tenaga sepanjang proses tersebut.
.
Ia nampak mudah apabila ditulis, dalam realiti jalannya sangat berliku.
Bayangkan seorang isteri yang masih terkejut dan berduka dengan kehilangan suami, terpaksa pula mengeluarkan wang simpanan yang banyak, naik turun mahkamah, malah ada kalanya terpaksa ‘berperang’ emosi dengan ipar-duai atau mertua, semata-mata nak pertahankan bumbung tempat dia dan anak-anak berteduh.
Sebab itulah perancangan semasa masih hidup selalunya jauh lebih mudah daripada penyelesaian selepas pemilik harta meninggal dunia.
.
Bagaimana Suami Boleh Merancang Semasa Masih Hidup?
Jika hasrat seorang suami ialah:
“Rumah ini aku sediakan untuk isteri tinggal, bukan orang lain.”
Kalau hasrat seorang suami memang mahu rumah itu menjadi milik isterinya, kenapa tunggu sehingga isteri perlu melalui semua proses ini selepas dia tiada?
Maka perancangan boleh dibuat lebih awal.
.
Antara pilihan yang boleh dipertimbangkan ialah:
1. Mengambil takaful hayat dengan manfaat kematian dihibahkan kepada isteri.
Manfaat takaful yang dihibahkan bukan harta pusaka. Ia boleh menjadi sumber kewangan untuk membantu isteri menebus bahagian waris lain sekiranya diperlukan.
.
2. Membuat hibah hartanah.
Jika hibah hartanah dibuat dengan betul dan memenuhi syarat-syaratnya, rumah yang dihibahkan akan diasingkan daripada harta pusaka selepas pemberi hibah meninggal dunia. Oleh itu, rumah tersebut tidak perlu dibahagikan mengikut faraid.
Isteri tak perlu naik turun mahkamah buktikan sumbangan untuk tuntut harta sepencarian.
Paling penting, isteri tak perlu fikir nak kena sedia duit berpuluh ribu untuk “tebus” bahagian orang lain.
.
Nota: Contoh di atas digunakan bagi memudahkan kefahaman. Setiap kes pewarisan adalah berbeza bergantung kepada waris yang masih hidup, status harta, hutang, serta faktor-faktor lain. Dapatkan penerangan berdasarkan situasi sebenar sebelum membuat sebarang keputusan.
.
.
Jika anda ingin mengetahui bagaimana keadaan keluarga dan harta anda sendiri, saya sediakan sesi penerangan secara percuma.
Dalam sesi tersebut, kita akan lihat:
- Siapa waris faraid anda.
- Apa pilihan perancangan yang sesuai.
- Kelebihan dan batasan setiap instrumen seperti hibah, wasiat dan amanah.
- Serta cabaran yang mungkin dihadapi jika tiada perancangan dibuat.
Jika berminat, hubungi saya untuk menetapkan temujanji.
Rancang harta, tenang jiwa.
Rancanglah sekarang, waris pun senang.
Mohd Syamsul
Financial Adviser Representative (iFAR)
Perunding Pewarisan Harta Islam
.
.
.


copyright 2014 - Duniasaya.net
Jul11