Tahun 2024 dah nak habis, rasanya macam baru je kita sambut tahun baru kan? Tapi cepat betul masa berlalu! Bila dah nak hujung tahun ni, mesti ramai yang mula semak perkara penting untuk ditutup sebelum masuk 2025. Salah satunya adalah pelepasan cukai!
Ada banyak peluang untuk kurangkan beban cukai dengan pelepasan yang kerajaan sediakan. Kalau tak dimanfaatkan, sayanglah kan?
Jadi jom, saya kongsikan beberapa perkara yang boleh anda semak dan sempat buat sebelum 31 Disember 2024:
.
1. Semak Anggaran Pendapatan Anda
Mula-mula sekali, tahu tak berapa anggaran pendapatan anda tahun ni? Sebab dari situlah kita tahu sama ada kita layak bayar cukai atau tidak.
Kalau tak pasti, cuba semak jadual cukai atau guna kalkulator cukai dalam talian. Bila dah tahu, barulah senang nak rancang pelepasan cukai.
Cuba kira guna kalkulator cukai ini.
Rujuk kategori banjaran pendapatan LHDN
.
2. Bayar Zakat
Zakat ni dua dalam satu. Selesaikan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, dan pada masa yang sama, ia memberikan pelepasan cukai penuh!
Pastikan anda ada rekod bayaran zakat pendapatan, zakat simpanan, atau zakat lain dalam portal zakat negeri sebelum 31 Disember.
Kalau dah bayar setiap bulan, lagi mudah. Tak lah berat sangat nak bayar masa hujung-hujung ni sekali gus.
Cuba kira berapa zakat anda guna kalkulator disini.
.
3. Belanja untuk Gaya Hidup (RM2,500)
Suka baca buku? Atau nak upgrade telefon pintar? Gunakan pelepasan cukai gaya hidup ini! Antara yang boleh anda belanjakan:
- Pembelian bahan bacaan seperti buku/e-buku, jurnal, dan majalah (tidak termasuk bahan bacaan terlarang).
- Bayaran langganan internet.
- Pembelian komputer peribadi, telefon pintar, atau tablet.
- Bayaran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri.
Bukan je dapat manfaat untuk diri sendiri, tapi boleh kurangkan cukai juga.
.
4. Beli Peralatan Sukan (RM1,000)
Skop pelepasan adalah meliputi perbelanjaan pembelian peralatan sukan, bayaran sewa atau fi kemasukan ke fasiliti sukan, bayaran fi pendaftaran bagi menyertai pertandingan sukan dan yuran keahlian gimnasium.
Pelepasan ini turut diperluas meliputi yuran latihan sukan yang dikenakan oleh persatuan/kelab sukan/syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan menjalankan aktiviti sukan yang disenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Boleh rujuk disini.
Tapi pakaian sukan, contoh: pakaian renang dan kasut sukan tak boleh ye.
Jom gunakan pelepasan ini sebagai galakan supaya kita menjalani gaya hidup sihat melalui aktiviti bersukan.
.
5. Buat Pemeriksaan Kesihatan (RM1,000)
Tujuannya supaya kita lebih proaktif mengenal pasti isu kesihatan yang mungkin ada di peringkat awal. Di sarankan sekurang-kurangnya sekali setahun. Mencegah lebih baik dari merawat.
Hujung tahun ni, cuba buat pemeriksaan perubatan penuh. Sekarang kan banyak pakej pemeriksaan lengkap yang berpatutan di klinik dan hospital.
Sekiranya anda pelanggan takaful saya, boleh hubungi saya untuk dapatkan pakej saringan kesihatan dengan kadar istimewa.
.
6. Jaga Kesihatan Gigi (RM1,000)
Rawatan seperti scaling, tampalan, dan cabutan layak mendapat pelepasan cukai. Namun, rawatan kosmetik seperti gigi palsu dan root canal tidak termasuk ye.
.
7. Simpanan Pendidikan Anak (SSPN – RM8,000)
Kalau ada anak, ini peluang untuk simpan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Selain layak pelepasan cukai, peluang anak-anak ada dana untuk melanjutkan pengajian di universiti nanti lebih cerah. Meringankan Ibu bapa menanggung kos pendidikan seperti yuran dan sara hidup mereka nanti kerana telah menyimpan sejak dari kecil.
Kira berapa jumlah penjimatan cukai jika anda menyimpan disini.
.
8. Simpanan Persaraan
- Skim Persaraan Swasta (PRS): Pelepasan sehingga RM3,000.
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP): Pelepasan sehingga RM4,000.
Gandakan simpanan persaraan pun boleh kurangkan cukai.
Kalau belum mula simpanan persaraan, tak terlambat lagi. Ingat, simpanan persaraan ni untuk diri kita di masa depan!
Bila anda sedar berapa banyak dana yang diperlukan untuk bersara dan baki masa yang ada untuk menyimpan, dari situ anda boleh buat perancangan yang sesuai supaya boleh bersara dengan selesa.
.
9. Lindungi Diri dengan Takaful/Insurans
- Takaful Perubatan atau Pendidikan: RM3,000.
- Takaful Hayat / Insurans Nyawa: RM3,000.
Kalau belum ada pelan takaful, ini masa terbaik untuk daftar. Bukan sahaja anda dapat kurangkan cukai, tapi juga beri pilihan mendapat rawatan perubatan di hospital swasta dan lindungi kewangan diri serta keluarga apabila diuji dengan penyakit kritikal, hilang upaya atau kematian.
Sebagai Islamic Financial Adviser Representative (iFAR) yang diiktiraf, saya boleh bantu anda cadangkan pelan takaful yang sesuai daripada 9 syarikat takaful, ya bukan hanya dari satu syarikat.
.
Buat Sekarang, Jangan Tunggu Detik Akhir!
Sebelum masuk 2025, semak semula semua peluang pelepasan cukai ini. Jangan lepaskan apa-apa yang anda layak sebab ini hak anda!
Pastikan anda simpan resit bayaran pembelian, yuran dan sebagainya sebagai bukti untuk tujuan rekod dan audit.
Kalau anda ada persoalan atau perlukan bantuan untuk pelan takaful atau perancangan kewangan, saya sedia membantu. 😊
.
.
Mohd Syamsul
Islamic Financial Adviser Representative
TSI Group
https://MohdSyamsul.wasap.my
Dis01