Mentor Bisnes

mentol

Bismillah. Entri ini terlalu panjang dan ianya berkaitan kisah hidup mentor bisnes saya yang pertama iaitu ayah saya. Bagi yang merasakan ianya tidak berkaitan, mohon untuk mengabaikannya.

Mentor bisnes saya antara yang utama adalah ayah kandung saya sendiri. Walaupun beliau meninggalkan dunia sewaktu saya berusia 11 tahun mengikut kalendar Masihi, semakin saya meningkat usia, semakin saya mengerti hampir setiap tindakan beliau.

Seingat saya beliau membeli tanah, membuat rumah secara tunai dan tidak berhutang dengan bank. Beliau ada bisnes restoran, kedai runcit, rempah ratus dan juga kilang kecil memproses serbuk kari, kunyit, lada dan sebagainya. Arwah ayah kami juga memiliki banyak rumah sewa ketika itu.

Beliau pernah berhutang dengan sahabatnya untuk mengembangkan bisnes, jumlah yang dihutang adalah RM 8 bagi membeli sekampit gandum. Beliau mendapat kredit dari ‘supplier’ untuk barangan bisnes kerana status dipercayai. Walaupun ayah kami sudah meninggal, banyak ‘supplier’ masih memberikan kredit kepada anak-anaknya kerana status kepercayaan ‘supplier’ kepada arwah kami sangat menebal.

Beliau seorang bisnesman, suka bersedekah, suka membuat majlis makan seperti tahlil, doa selamat, banyak menyumbangkan kepada pondok terkenal di Pasir Mas, iaitu Pondok Lubok Tapah. Pada hari ayah kami meninggal, Tuan Guru Haji Abdullah Lubok Tapah datang ke pusara ayah kami, dan melakukan solat jenazah di situ dan memohon maaf kepada kami kerana baru balik ke pondoknya dan sebaik sahaja diberitahu bahawa ayah kami sudah meninggal, beliau terus datang ke sini.

Menantu yang beliau sayang, adalah menantu yang membuka sejadahnya, di mana sebaik sahaja beliau mengambil wudhuk, bertapa gembiranya apabila melihat sejadahnya sudah terbuka. Beliau menguruskan bisnes dari pagi sehingga tengahari, petang beliau membaca Al Quran dan selepas Asar, semua adik beradik kami yang lelaki terutamanya diwajibkan membaca Yasin di ruang tamu.

Beliau suka makan di atas lantai dan duduk seperti Nabi duduk, bersama kami semua. Hendak beli daging lembu juga beliau suruh adik beradik kami pergi tanya dahulu, lembu mana yang akan disembelih pada pagi esok, dan pada pagi keesokannya saya ataupun abang-abang saya perlu pergi pastikan lembu yang disembelih, adalah lembu yang sama tokeh lembu tunjukkan pada petang semalam. Saya pernah bertanya kepada ayah saya kenapa? Beliau menjawab ‘Kita ingin pastikan lembu yang hendak disembelih itu adalah lembu jantan dan kita ingin pastikan lembu itu tidak berpenyakit, ini kerana peniaga lembu tidak akan menyembelih lembu betina, kecuali lembu betina itu berpenyakit, kerana lembu betina menghasilkan anak lembu yang boleh dijual apabila besar nanti”.

Apabila membuat kenduri kesyukuran beliau pernah menyuruh kami membalut RM 4 untuk diberikan setiap tetamu yang datang.

Beliau pergi ke Mekah bersama ayah kepada Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubok Tapah, iaitu pengasas Pondok Lubuh Tapah.

Baju-baju sekolah kami dan baju raya, kebanyakan ditempah sejak dari kami kecil. Walau bagaimana kami membawa duit sekolah lebih sedikit daripada anak-anak orang Miskin.

Beliau tidak pernah menyebut ‘happy birthday, ataupun merayakan sebarang hari jadi untuk keluarga kami, apa yang kami tahu hari jadi Nabi Muhammad sahaja yang diadakan di rumah kami. Mengikut abang saya, setiap hari di zaman dahulu, arwah ayah kami menyimpan RM 0.20 sehari di dalam tabung khas, apabila tiba sehari sebelum hari Maulidur Rasul, ayah saya sedekah duit itu kepada Masjid @ Surau bagi dibuat majlis menyambut kedatangan Maulidur Rasul. Pada masa yang sama beliau akan membuat kenduri berselawat dirumah kami, biasanya sama ada dengan menyembih ayam sahaja ataupun sembelih kambing. Itu yang menyebabkan lagu kesukaan saya adalah berselawat, kerana itu antara lagu yang berkumandang di rumah kami sewaktu kecil iaitu sewaktu maulidur rasul itu.

Ayah kami menghubungi kakak saya yang sulung yang tinggal di Kota Bharu, untuk minum petang, pada jam 3 petang. Kakak saya sudah bekeluarga dan 3 daripada anaknya adalah lebih tua berbanding saya. Kakak saya boleh datang kerana beliau juga berbisnes. Saya hanya tahu waktu bekerja apabila saya mula bekerja selepas tamat di Universiti. Selepas 10 tahun, saya kembali semula ke dunia bisnes, bagi menikmati waktu yang bebas sebebasnya.

Beliau selalu memesan kepada kami sehingga beliau meninggalkan kami, pakai kasut dan pakaian guna tangan dan kaki kanan dahulu, buka tangan dan kaki kiri. Masuk tandas kaki kiri keluar tandas kaki kanan. Baca Bismillah dalam berbuat sesuatu yang elok. Berselawat sebelum melelapkan mata.

Sepanjang hidup bersama beliau saya tidak pernah tahu erti makan tidak cukup, kerana Alhamdulilah, rumah kami tidak pernah tiada makanan.

Lebih kurang seminggu sebelum beliau meninggal, beliau memanggil semua anak-anaknya secara seorang demi seorang. Sewaktu giliran saya, Ayah kami berpesan kepada saya, bahawa sudah tiba masanya untuk mati. Saya mempersoalkan beliau, kerana mana ada orang tahu dia akan mati. Beliau berkata tempoh mati beliau sudah hampir dalam 1 – 2 minggu beliau akan meninggalkan saya di sini. Saya ketika itu tidak percaya. Beliau berpesan “Sekiranya berlaku apa-apa jangan menangis, kerana Allah ada”. Beliau mahu saya tabah dan bergantung kepada Allah sepanjang hayat saya dan jangan berputus asa.

Beberapa hari selepas itu, beliau koma di rumah iaitu pada hari Jumaat, pada hari Rabu tepat jam 10.20 pagi iaitu pada hari Rabu 8 Oktober 1986, beliau bangkit sehingga para pinggang dari koma dan melihat di kiri dan kanan beliau, selepas itu beliau mengucap dua kalimah syahadah dan tidur untuk selama-lamanya di dunia ini.

Zakir beliau setiap kali solat yang masih tergiang di telingga saya adalah Ya Latif….

Apa yang saya faham berkenaan bisnes ayah saya adalah hidup untuk mencari rezeki yang halal untuk diberikan makan kepada keluarga dan pada masa yang sama memberi kepada orang lain sebanyak-banyaknya. In syaa Allah hidup kita berkat. Itu yang saya berpegang sehingga hari ini, kerana bagi saya sekiranya seorang Tuan Guru Pondok Allahyarham Haji Abdullah Lubok Tapah boleh bersusah payah datang ke kubur ayah kami untuk solat jenazah dan juga pernah berkata kepada orang ramai yang berada di dalam rumahnya ketika itu “Saya terhutang dengan arwah ayahnya, itu yang saya tidak boleh menolak permintaan anak-anaknya”. Ketika itu saya menjemput beliau untuk datang ke rumah saya bagi melakukan upacara mencukur Jambul ataupun di dalam bahasa Kelantan di panggil ‘cukur’. Alhamdulilah beliau datang ke rumah saya dua kali untuk 2 orang anak saya, dan anak ketiga saya dilakukan oleh anak beliau, kerana sewaktu anak saya yang ketiga lahir 19 hari, Tuan Guru Haji Abdullah pula pulang ke rahmatullah.

Apa yang saya faham berkenaan ilmu Bisnes yang diajar oleh ayah kami kepada saya selama saya hidup dengan beliau dan sehingga kini

“Bisnes adalah Kasih Sayang”.

Iaitu tiada niat walaupun sedetik untuk untuk membuatkan orang lain lebih miskin, ataupun untuk menkayakan diri, sebaliknya menyediakan produk ataupun perkhidmatan umpama memberi hadiah kepada orang yang kita sayangi.

Kerana kasih sayang, kita pulang ke Allah dengan selamat In Syaa Allah.

Malaysia | Shamsuddin Kadir

Penulis Buku Rancang Wang Sejak Jatuh Cinta