Bismillah. Kisah Sahabat Nabi Malik bin Haris (harap betul nama tersebut, kerana saya tidak sempat mencatitnya)
Tazkirah oleh Ustaz Uda Kasim di SK Training Academy Sdn Bhd pagi tadi.
Apa yang ditulis berdasarkan apa yang saya faham dan ingat sahaja, bagi mendapat maklumat yang lebih benar dan sahih rujuk kepada ustaz ataupun kitab. Apa yang diperkatakan oleh Nabi seperti di bawah adalah berdasarkan apa yang saya rasa saya ingat.
Apabila Nabi bertemu dengan Malik bin Haris, nabi bertanya lebih kurang begini “Apa khabar?”, beliau menjawab “Aku sudah menjadi orang Islam yang sudah sempurna”
Nabi terkejut, lalu bertanya lagi “Apa yang menyebabkan saudara berkata sedemikian”
Malik bin Haris, memberitahu “Aku sentiasa berpuasa, aku takut untuk makan takut berdosa, kerana tidak beribadah kepada Allah, aku tidak mahu ada masa yang aku terputus beribadah kepada Allah. Aku akan rasa bersalah setiap kali aku makan, kerana belum benar-benar bersyukur dan beribadah kepada Allah. Ini kerana aku berpuasa semata-mata kerana Allah.
Dan aku pastikan setiap kali duit ada di dalam poket aku, aku terus bersedekah kepada orang yang lebih memerlukan, dan aku pastikan setiap masa poket aku sentiasa kosong, setiap kali aku ada duit, pasti aku bersedekah kepada orang lain, kerana takut hubungan aku dengan Allah semakin jauh kerana kasih dan sayang kepada duit berbanding Allah.”
Nabi berkata kepada beliau, lebih kurang bermaksud seperti ini, “Benarlah kata-kata mu itu wahai saudaraku”.
Orang zaman Nabi benar-benar risau takut urusan dengan Allah terganggu oleh makanan dan wang.
————————————
Kisah di atas menguatkan lagi semangat kami untuk tidak menghiraukan tentang kuih raya dan duit raya untuk orang yang mampu. Apatah lagi bekas kuih raya, langsir raya, ataupun perkara yang kebanyakan orang lakukan untuk memeriahkan hari raya mengikut adat.
Hari raya adalah hari kemenangan setelah berjaya sepanjang bulan Ramadhan membersihkan hati dari sifat, riak dan takabur. Hari raya disambut tanpa ada simbol-simbol kekayaan mendekatkan diri dengan riak @ takabur.
Ya Allah jadikan kami antara hamba Mu yang merasa bersalah ketika makan dan gelisah apabila tidak bersedekah. Amin.