Assalamualaikum semua. saya jumpa perkongsian yang menarik tentang balik raya di FB :
Aku Yang Berjasa,
Kamu Yang Dapat Laba!
Coretan ini sangat panjang. Bacalah jika ada kelapangan.
Beberapa hari yang lalu, saya berbual dengan seseorang dan tanpa direncana kami menyentuh tentang topik balik raya.
Katanya, sudah banyak tahun dia tidak pulang ke kampung sejak ibu bapa meninggal dunia.
Puncanya dia makan hati tentang isu pembahagian harta pusaka. Pembahagian itu dianggap tidak adil dan seolah-olah menidakkan pengorbanannya kepada ibu bapa selama ini.
Baginya dialah anak yang paling banyak berjasa.
Saya tidak bertanya lanjut kerana jiwa saya mula terusik. Kata-kata individu itu benar-benar menikam hati saya.
Sebagai anak bongsu dalam keluarga, saya juga seperti individu itu kerana selalu merasakan sayalah anak yang ‘terpaling’ banyak berkorban untuk ibu bapa.
Beza umur antara saya dengan abang yang paling muda adalah 11 tahun. Bermaksud ketika di bangku sekolah rendah semua abang dan kakak saya telah berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri.
Maka yang tinggal di rumah cuma saya, mak dan pak. Seolah-olah juga rumah itu hanya milik kami bertiga. Anak-anak yang lain sudah ada rumah sendiri.
Nak beli perabot baru, saya, mak dan pak yang terlibat.
Nak renovate rumah, saya, mak dan pak yang merencana.
Pendek kata begitulah.
Segala-galanya saya, mak dan pak yang uruskan. Abang-abang dan kakak juga membantu serba sedikit tetapi mestilah saya yang paling banyak berada di lapangan!
Apabila ekonomi agak stabil, saya memberikan duit kepada mak sekitar 1k dan untuk pak pula beberapa ratus ringgit sebulan.
Kemudian, apa sahaja yang mak sebut mesti saya akan belikan termasuk barang kemas.
Mak sebut bilik air dan beberapa bahagian lain pada rumah perlu diubah suai, saya kirimkan sejumlah duit walaupun mak tidak meminta.
Sehinggakan banyak kali mak berkata kepada saya dan ibu saudara, duit yang mak ada majoritinya daripada pemberian saya berbanding anak-anak yang lain!
Mestilah saya teruja apabila dipuji sebegitu.
Sehinggalah saat mak berpindah ke negeri abadi.
Selepas beberapa hari mak pergi kami mula ‘berkisah’ tentang harta yang mak tinggalkan.
Antaranya kami temui wang tunai di dalam beg mengaji mak melebihi 11k.
Selain itu, mak juga memiliki barang kemas, duit simpanan di Tabung Haji dan juga beberapa bidang tanah.
Maka bermulalah dramanya…
Saya tidak peduli pada harta mak yang lain. Orang lain nak ambil duit dan tanah ambillah.
Apa yang saya mahukan hanyalah barang kemas mak kerana pada saya semua itu satu kenangan. Saya seperti ternampak mak pada barang-barang itu.
Barangan kemas itu bukanlah banyak sangat. Tidak setanding pun dengan nilai duit dan tanah-tanah mak. Lagipun 40% daripada barang kemas mak, saya yang belikan.
Jadi apa masalahnya kan………
Konon-kononnya begitulah pemikiran saya.
Kakak saya mencadangkan supaya kami bahagi semua harta mak sama rata.
Tetapi seorang abang saya tidak bersetuju. Abang itu mahukan pembahagian mengikut faraid iaitu anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian.
Abang-abang yang lain termasuk pak memilih untuk no komen.
Maka hati saya terbakar.
Sama seperti pemikiran individu tadi, pastilah saya merasakan akulah anak yang paling banyak berjasa kepada ibu bapa.
Bilik air itu duit aku…
Bahagian rumah itu dan ini pun duit aku…
Perabot dan pinggan mangkuk pun aku yang beli..
Simpanan mak pun majoritinya daripada aku…
Emas mak pun aku yang beli hampir separuh…
Tiba-tiba time pembahagian pusaka nak ikut faraid. Lelaki nak dapat lebih berbanding perempuan!
Sedangkan harta yang nak dibahagikan itu majoritinya daripada aku!
Haaaaaaa, begitulah kata hati saya dek merasakan diri yang terbaik.
Tetapi semua amukan itu hanya di dalam hati. Mulut saya terkunci rapat. Segala rasa tak puas hati dekat abang, saya telan sorang-sorang. Kadang-kadang adalah juga saya mengumpat dengan kakak 😅
Seminggu berlalu.
Suatu hari saya selongkar laci yang menyimpan barang-barang peribadi mak. Tiba-tiba saya terjumpa kad haji mak pada tahun 1990. Ketika itu kali pertama mak dan pak ke tanah suci untuk menunaikan haji.
Saya masih ingat cerita mak.
Kata mak kos untuk mengerjakan haji ketika itu sekitar RM5K. Abang-abang dan kakak saya yang berusaha membantu mak dan pak memenuhkan akaun Tabung Haji tersebut sehingga mereka berdua mampu menunaikan haji ketika itu.
Ya Allah!
Waktu itu jiwa saya terasa seperti dicincang lumat. Saya beristighfar panjang. Terasa betapa bodoh, jahil dan bongkaknya diri ketika itu.
Dengan bangganya saya merasakan bahawa sayalah anak yang paling banyak berbakti kepada ibu bapa. Segala-galanya saya yang beri.
Hakikatnya saya terlupa.
Sebelum saya mampu memberi, abang-abang dan kakak saya terlebih dahulu yang menjadi tulang belakang ibu bapa.
Ketika saya baru bertatih membina langkah, abang-abang dan kakak saya sudah lama memimpin tangan ibu bapa.
Ketika itu saya teringat pada sepucuk surat lama yang dikirimkan oleh kakak saya kepada pak. Surat itu saya temui ketika saya masih di bangku sekolah rendah.
Dalam Surat itu kakak saya berkata dia baru sahaja menerima gaji pertama sekitar RM180 (jika tidak silap) dan RM100 dikirimkan kepada pak!
Malah, abang-abang dan kakak saya itulah yang menjaja kuih daripada air tangan mak untuk menampung ekonomi keluarga pada zaman kecil mereka.
Ketika itu saya belum lahir. Mungkin kerana itulah saya buta untuk melihat pengorbanan abang-abang dan kakak saya.
Allahhurabbi…
Saya menangis.
Begitulah kita. Mudah sungguh hati kita terpesong dek tamak dan sering merasakan diri yang ‘terpaling’ baik sehingga pekak dan buta untuk melihat kebaikan orang lain.
Ketika itu saya benar-benar insaf. Saya pujuk hati. Saya belajar untuk reda dan ikhlas.
Ternyata apabila kita sabar, reda dan bertenang maka Allah akan membuka seribu satu jalan untuk hamba-Nya.
Selang beberapa hari abang saya wassap dalam group family yang berbunyi begini.
Cadangan abang:
Barang kemas mak diserahkan semua kepada adik (saya) kerana adik yang banyak membeli barang-barang kemas tersebut.
Duit mak difaraid dengan nisbah 2:1
Tanah mak tidak dibahagikan lagi kerana pembahagian akan dibuat bersama tanah milik pak.
Kami adik-beradik bersetuju termasuk pak.
Pada malam tersebut saya berbincang dengan kakak.
Saya cadangkan kepada kakak supaya barang kemas mak kami bahagi berdua dan duit mak kami tolak. Kami berikan semuanya kepada abang-abang dan pak.
Kakak saya bersetuju. Maka kami berdua tidak terlibat dengan duit mak.
Anda tahu apa yang terjadi pada duit mak?
Sepuluh sen pun abang-abang dan pak tidak memgambil duit tersebut sebaliknya diinfaq ke tempat-tempat yang mereka persetujui.
Kata abang, dia memilih 2:1 kerana mahu mendapatkan bahagian yang banyak untuk diinfaqkan kerana tidak tahu bagaimana anak-anak yang lain akan menguruskan duit mak.
Rupa-rupanya, semua anak termasuk pak mempunyai niat yang sama. Masing-masing tidak mahu duit mak!
Begitulah.
Hubungan adik-beradik seperti gelas kaca yang amat nipis.
Pantang tersilap sedikit pasti akan sumbing, retak ataupun berkecai.
Maka jagalah gelas itu sebaiknya kerana selain ibu bapa hanya mereka yang kita ada sebagai waris senasab.
Lupakan sengketa dan jangan lupa balik raya!
Al-Fatihah untuk semua ibu bapa kita. ❤
Busseroa Abd Jalil II’s Post
.
Satu kisah yang memperlihatkan kepada kita betapa mudahnya silaturrahim adik-beradik teruji hanya kerana harta pusaka.
Sementara kita masih hidup, kita ada ruang dan peluang untuk merancang dengan baik:
📜 Nyatakan hasrat.
📄 Sediakan dokumen.
⚖️ Gunakan instrumen pewarisan yang patuh perundangan dan syariah.
💼 Melantik pihak tak berkepentingan, berkredibiliti dan pakar yang bakal uruskan pewarisan.
❤️ Mengurangkan syak wasangka dan retak hubungan selepas pemergian kita.
Kerana perancangan hari ini, adalah keharmonian untuk esok.
Jangan tunggu, rancanglah pewarisan harta anda hari ini demi keluarga yang anda cintai.
Rancang harta, tenang jiwa.
.
Mohd Syamsul
Perunding Pewarisan Harta Islam
Kausar Group, Agensi no 1, Syarikat Amanah, Wasiyyah Shoppe Berhad
Mar15