Tersebut kisah daripada memori tentang seorang Engineer muda, Mr Vios yang baru masuk kerja di sebuah syarikat minyak dan gas terkenal di dalam negara.
Dengan sijil yang dimiliki oleh Mr Vios, tambahan dengan gred yang hebat, mana mungkin syarikat berkenaan menolak permohonan beliau. Jadi bekerjalah Mr Vios sebagai seorang engineer muda setahun jagung dengan gaji yang beliau rasa lumayan, iaitu RM3000 sebulan.
Dengan gaji sebegitu, Mr Vios sudah merasakan kenikmatan hidup. Memanglah, dulu dapat duit pinjaman sponsor pun baru RM700 sebulan. Sekarang sudah dapat hampir 4 kali ganda. Jadi Mr Vios merasakan dirinya berada dalam status kehidupan yang sudah agak mewah. Sudahlah seorang engineer, berduit pula.
Sesudah mendapat gaji pertama, Mr Vios merasakan kekosongan yang amat sangat. Duitnya hanya terusik sedikit sahaja. Difikirkan bagaimana mahu menggunakan pengetahuan engineering optimisation terhadap gajinya yang terbiar tidak digunakan.
Balik kampung berhari raya, beliau disindir sanak saudara. Tidak kurang juga yang memaksa. Bila mahu pakai kereta (besar)?
Tekad menggunung. Balik daripada kampung terus mencari kereta yang sesuai.
Gajinya RM 3000. Kereta apa yang beliau layak? Lantas ditanya kepada pegawai bank. Beliau layak meminjam maksimum 2/3 daripada gaji bersih sebulan untuk installment. Lebih kurang RM 2000.
Dengan berbekal pengetahuan kewangan sedia ada, Mr Vios agak-agak selamat untuk menurunkan bayaran bulan sebanyak RM1500. Barulah berjimat cermat.
Jadi proses shopping kereta pun bermula……
Dengan RM1500 sebulan, kadar HP 3% dan tenure 9 tahun, beliau dapat memiliki sebuah Honda Civic yang cun melecun. Sesuailah dengan status beliau sebagai orang berkarier, engineer pula tu.
Jadi dengan bangganya Mr Vios membawa dan memperkenalkan Honda Civic yang cun melecun kepada sanak saudara dan rakan sekerjanya. Bangga sungguh dia. Kawan-kawan pun memuji. Barulah setaraf.
Rupanya rakan-rakan sekerja Mr Vios pun tidak kurang juga. Masing-masing berkereta hebat-hebat.
Dalam banyak-banyak rakan sekerja, Mr Estima merupakan technician yang report direct kepada Mr Vios. Mr Estima telah bekerja lama dengan syarikat tersebut, namun disebabkan hanya mempunyai sijil dan diploma, beliau kekal sebagai technician. Gaji pokok beliau sudah tentu tidak dapat menyaingi bos mudanya, Mr Vios.
Mr Vios berkata dalam hati, Mr Estima pasti tidak mampu memakai kereta hebat seperti beliau. Berapa saja gajinya, bisik hati kecil Mr Vios.
Sangkaan Mr Vios meleset apabila suatu hari beliau melihat Mr Estima menaiki Toyota Vellfire ke tempat kerja. Terkejut beruk beliau.
Mr Vios menyapa Mr Estima selepas beliau selesai meletakkan keretanya.
Mr Vios: Pakcik Estima, besar kereta pakcik. Pakcik punya ker?
Mr Estima: Aah, dah pakcik bawak, memanglah pakcik punya.
Mr Vios: Wow, mampu ker pakcik bayar kereta macam ni? Mahal ni. Paling kurang RM2000 sebulan ni. Gaji pakcik mana cukup.
Mr Estima: Kau bayar kereta kau berapa sebulan nak?
Mr Vios: RM1500.
Mr Estima: Gaji kau berapa nak?
Mr Vios: RM3000.
Mr Estima: Kesian. Hamba kereta. Kerja macam nak mati separuh bulan cuma untuk kereta.
Mr Vios: Errr….
Mr Estima: Aku pakai Vellfire tu free jer…orang tolong bayarkan
Mr Vios: Eyh, macam mana boleh pakai free? Orang bayarkan pulak tu. Biar betul pakcik pakai Vellfire free?
Mr Estima : Bukan aku yang bayar so kira free lah.
Mr Vios : Ok pakcik, ceritalah macam mana pakcik buat.
Mr Estima: Banyak jer cara boleh buat. Kawan-kawan pakcik buat banyak cara. Tapi yang ni kira paling simple lah.
Mr Vios : Simple pun jadilah.
Mr Estima: Kau kena ubah mindset. Bezakan aset dan liabiliti. Kemudian belajar hidup jangan sebab nak impress orang. Sebenarnya takde orang kisah pun kau pakai kereta ape. Last sekali kau jugak yang bayar, bukan member atau sedare mara kau.
ASET – Aset adalah sesuatu yang meletakkan wang di dalam poket anda, sama ada anda bekerja atau tidak.
LIABILITI – Liabiliti adalah sesuatu yang mengambil wang dari poket anda, sama ada anda bekerja atau tidak.
Mr Vios : Makan dalam ni..Tapi takpe saya terima teguran tu pakcik. Ceritalah lagi.
Mr Estima : Sebagai orang muda yang miskin, kau kena fokus tambah aset. Orang miskin ni takda aset, tapi banyak liabiliti. Kalau kau start kerja dah kumpul liabiliti, alamat ko jadi hamba duit sampai bila-bila.
Aku muda-muda dulu bukan senang bank nak bagi pinjaman, jadi aku pakai kereta buruk jer. Asal boleh jalan. Kau pulak bukan kawen lagi, pakailah kereta biasa-biasa. Kumpul beli kereta second hand.
Kalau gaji kau 3000, Kau bayar maximum 300 cukup la.
Mr Vios: Ok-ok. Nasihat diterima. Lagi pakcik?
Mr Estima: Duit lebih tu kau simpan dan labur la. Kalau kau boleh bayar RM1500 untuk kereta, maknanya kau ada lebih rm1200. Kat sinilah kuncinya.
Laburkan duit tu. Macam pakcik dulu, takde la ada 1200, tapi lebih dapat la beli satu rumah flat. Bayar 300 jer sebulan. Bila gaji tambah, pakcik tambah satu lagi rumah flat.
Pakcik sewakan rumah tu, dapat la duit lebihan. Duit lebihan ni pakcik kumpul untuk downpayment rumah seterusnya.
Lepas pakcik ada beberapa aset rumah flat, pakcik pun fikir nak tukar kereta.
Jadi bila boring beli rumah flat, pakcik stop kejap, pakcik guna duit lebihan untuk bayaran kereta bulanan. Jadi pakcik bayar guna duit lebihan tu jerlah.
Bila tukar-tukar kereta acap kali, pakcik rasa rugi pulak jual kereta second hand. Baik pakcik sewakan. Kancil bayar RM 300 sebulan, harga sewa sehari pun dah RM 80, cukup 5 hari orang sewa dah balik modal.
Kau pakai Honda kau tiap-tiap hari ker?
Mr Vios: Time nak pergi kerja jer. Weekend kalau keluar jalan-jalan. Kalau tak parking dekat rumah jer. Kawan saya dekat KLCC tu naik komuter dan LRT jer. So hari kerja tak pakai kereta pun.
Mr Estima : Haa, bijak pun. Setiap bulan ada 8 hari minggu boleh sewakan. Dah untung dah. Kalau orang nak sewa hari kerja pun ok, kita naik motor atau public transport lah.
Itu cerita kereta kancil nak. Itulah yang pakcik buat sampai ada Vellfire ni.
Mr Vios : Betul la pakcik. Selama ni saya tak pernah terfikir untuk buat camni.
Mr Estima : Benda ni untuk orang yang nak buat jer. Yang boleh dahulukan masa depan dan tolak kepuasan diri sendiri. Yang nak senang cepat, tak dapat nak tolong.
Ada banyak lagi cerita kawan-kawan pakcik. Ada yang main saham, ada yang buat projek pecah tanah, ada yang main emas, ada yang main rumah lelong, ada yang buat sublet, ada yang buat bisnes macam-macam, ada yang pakai syarikat. Yang penting kita mesti mahu belajar.
Mr Vios: Terima kasih pakcik. Terbuka minda saya.
Financial Statement (Penyata Kewangan) Pakcik Estima (Kiri) vs Encik Vios (Kanan)
Mr Vios telah berazam hanya mahu fokus kepada menambah aset. Honda Civicnya mahu dijual walaupun mungkin rugi. Namun kerugian itu katanya berbaloi.
Begini rasional Mr Vios.
Kereta yang dijual itu susut nilainya hampir 15% setelah 6 bulan dipakai. 15% daripada RM 130k ialah RM 19,500. Hutang beliau masih banyak dek kerana bank mengenakan kadar keuntungan. Jadi hutang beliau tetap 130k (andaian untuk mudah kira). Memandangkan beliau telah bayar 10% downpayment, bermakna dengan susut nilai 15%, beliau rugi 5% iaitu RM 6500.
Tetapi RM 6500 boleh dikira kerugian yang kecil kerana jika beliau meneruskan komitmen RM 1500/sebulan itu, beliau akan rugi lebih banyak.
Mr Vios pun pergi melawat Mr Estima yang sedang berehat dirumahnya, dengan niat mendapat nasihat.
Mr Vios : Pakcik, saya mahu jual kereta saya. Tak mahulah sewa-sewa ni, leceh. Saya jual terus dan perbaiki cash flow saya. Rugi sedikit sekarang.
Mr Estima: Berapa kau rugi nak?
Mr Vios : Lebih kurang RM6,500.
Mr Estima : Oklah tu. Itulah harga sebuah kebodohan. Kira sebagai bayaran pembelajaran lah. Tapi Honda kau tu kalau tunggu beberapa tahun sikit mungkin tak rugi dengan susut nilai sebab resale value Honda tinggi. Tapi yang kau carik pasal buat loan 9 tahun tu sapa suruh. Dengar lagi orang bank dengan penjual kereta punya nasihat.
Tapi jugak, kalau kau tunggu lama sampai nak loan dan value kereta kau match, kau dah rugi banyak masa dan peluang.
Bertahun-tahun jugak tu. Kalau kau rasa RM 6500 tu berbaloi untuk beli masa bertahun-tahun, you are on the right track.
Mr Vios : (Kembang bangga dengan pujian sifunya). Jadi saya on lah jual kereta saya ni. Saya juga dah rancang nak beli aset. Rumah.
Mr Estima: Bagus dah tu. Kau nak beli rumah untuk apa?
Mr Vios : Rumah ni untuk duduk, pastu untuk investment sekalilah. Kira sambil menyelam minum air la ni. Hehehe bijak tak saya?
Mr Estima: Hehe. Aku dah jumpa ramai dah orang macam ni. Nak pakej 3 in 1, 10 in 1. Nak beli rumah untuk duduk, pastu nak sewalah, pastu nak investlah, pastu nak cashflow lah, pastu nak capital gain lah. Orang macam ni memang takkan jumpa rumah sampai bila-bila. Kalau dia beli pun, dia takkan jadi investor yang berjaya.
Mr Vios : Uikss, makan dalam lagi ni. Takpe-takpe, sifu punye pasal sebab ajar pun free ni, say terima. So macam mana ni?
Mr Estima : Untuk melabur kena ada target. Macam pakcik beli flat untuk sewa dan dapat cash flow positif, duit lebihan. Kira pakcik ni slow mo punya orang. Alon-alon bak kata orang Kanada. Ada orang main flipping. Beli, hold 2-3 tahun dan jual. Untung dekat capital gain. Sekali untung bila market cantik memang best lah. 5-6 angka tu biasa. Pastu rolling la lagi.
Mr Vios: Wah, terliur nih. Saya patut main macam mana ni?
Mr Estima : Cerminlah diri sendiri. You must know your own game.
Mr Vios : Ok saya set saya mahu main game simple. Saya nak beli satu rumah yang ada potensi yang sangat baik. Mungkin boleh naik double dalam masa 5 tahun. Saya kena carik area hot dan lokasi kegemaran flipper dan spekulator. Kemudian saya jual, dan dapat duit untung. Duit untung tu saya beli tanah dan buat rumah sendiri. So saya tak perlu berhutang beli rumah sendiri kan? Bijak tak saya? Hehehehe.
Mr Estima : Hahahaha.. ini yang nak gelak lagi dengan orang muda ni. Belum apa-apa dah fikir macam orang pencen. Nak rumah sendiri, tanah luas la apa la. Ini kira mazhab Settle Down Early.
Mr Vios : Adeh, kena lagi. Tak best ker idea saya tu? Ok apa invest sekali pastu dapat rumah sendiri free?
Mr Estima: Oklah juga tapi tak berapa bijak. Itu kesilapan ramai orang muda. Kau kira ok lah ada jugak invest dan target rumah sendiri “free’. Ada ramai kawan-kawan sebaya kau tu tak sabar nak rumah sendiri. Nak settle down katanya. Baru kerja 2-3 tahun, settle down apa kejadahnya? Ada 30 tahun lagi masa bekerja (kalau hidup normal, namun ajal dan maut di tangan Allah).
Dah beli rumah sendiri, pakai joint loan max suami isteri. Downpayment guna personal loan. Renovate pun pakai personal loan (kalau ada lagi entitlement). Buat kabinet dapur pakai bayar pakai kad kredit. Beli perabot pakai ansuran mudah.
Kerja korporat, gaji beribu-ribu nak pakai smartphone konon, pun pakai ansuran mudah or pakai kontrak.
Itu sikit jer kes-kes depan mata. Belum lagi aku nak membebel kenduri kahwin dan wang hantaran pun berhutang..
Mr Vios; Huhu. Rileks pakcik. Nanti kena strok kang. Betul la cakap pakcik..Insaf saya.
Kebanyakan orang berfikir hanya untuk buat duit. Mereka tidak sedar bahawa terdapat pelbagai jenis wang yang boleh dijana. Selama bertahun-tahun, Rich Dad mengajar Mike dan saya bahawa terdapat tiga jenis pendapatan:
Pendapatan yang diperolehi biasa / Pendapatan Aktif: Secara umumnya diperoleh daripada pekerjaan melalui gaji. Ia adalah pendapatan tertinggi dikenakan cukai , dan dengan itu, yang paling sukar untuk membina kekayaan dengan.
Pendapatan Portfolio: Secara umumnya berasal dari aset kertas seperti saham, bon, dan dana bersama.
Pendapatan pasif: Secara umumnya berasal dari hartanah, royalti, dan pengagihan. Ia adalah pendapatan yang paling rendah dikenakan cukai – , dengan banyak faedah cukai, dan ianya adalah pendapatan yang paling mudah untuk membina kekayaan dengan.
Rich Dad berkata, “Jika anda mahu menjadi kaya, fokus untuk menjana pendapatan pasif. ”
– Robert T Kiyosaki
Mr Estima hampir diserang strok gara-gara terlalu kecewa dengan sikap golongan muda (dan tua) yang menguruskan kewangan dengan sambil lewa. Nasibnya baik kerana ditenangkan oleh Mr Vios, seorang pemuda yang sopan santun tetapi masih mentah dan naif dalam kehidupan.
Mr Estima: Pakcik pun tak tahu kenapa kemahiran urus wang ini tak diajar di sekolah. Ada banyak teori konspirasi yang pakcik dengar, tapi entahlah.
Mr Vios : Habis pakcik ni belajar dari mana? Takkan ilmu ni dapat dari bertapa? Tapi memang betul, menda ni memang tak diajar dekat sekolah. Tapi dekat sekolah pun siapa nak ajar. Cikgu pun perangai sama jer. Bukan kata kat semua, tapi banyak kes lah. Harap kalau saudara mara pakcik ada yang kerja cikgu, saya minta maaf.
Mr Estima: Pakcik belajar dari kawan-kawan. Sebenarnya dulu dalam hati pakcik, memang teringin nak jadi orang senang. Pakcik asal kampung, orang miskin. Kerja keras tapi duit cukup makan. Pakcik terpikir macam manalah nak jadi senang. Disebabkan itu, pakcik berjumpa orang-orang yang senang dan pakcik belajar dari mereka.
Mr Vios: Bestlah pakcik, jumpa kawan orang senang. Saya jumpa pakcik jer itupun dah nasib jer kot.
Mr Estima: Hek eleh kau ni. Sebenarnya banyak jer cara kalau betul-betul nak. Contoh sekarang kan ada tv la, internet la. Banyak jer boleh belajar. Buku pun banyak. Cuba ko pergi kedai buku, banyak jer buku pasal merancang kewangan, cara nak buat duit, cara nak bisnes. Tapi orang kita suka baca buku seram, baca novel cinta, sebenarnya aku isteri dia dan lain-lain. So tak bolehlah nak salahkan sistem pendidikan jer. Bahan sebenarnya dah ada banyak.
Mr Vios: Betul la. Saya asyik beli majalah Maskulin jer. Lepas ni tukar selera pulak. Beli Gila Gila. Hehe..Lawak jer ni pakcik..heheh..
Mr Estima: Anak saudara aku pun sebaya kau. Tapi dia pun dah on the right track. Banyak juga aset dia. Emas ada, rumah sewa ada. Masih pakai motor pergi kerja. Ada kereta bini dia bawak. Viva jer. Dia kata dia banyak belajar dari fesbuk. Dekat internet.
Mr Vios: Ohh facebook. Rupanya dekat facebook pun boleh belajar ehh. Saya jarang bukak sebab malas nak layan orang-orang asyik upload gambar anak dia, kucing dia, dan segala yang dia makan semua masuk dalam facebook. Takpe lepas ni nak cari geng-geng fikir masa depan ni jer la. Sure banyak.
Mr Estima: Betul nak. Kadang-kadang ilmu banyak jer free, tapi kena mencari. Wah rhyme la pulak. Free, tapi kena mencari.
Mr Vios: Aah. Tapi saya nak tanya lagi la pakcik. Sampai bila kita kena kerja ni? Saya tengok aset-aset ni semua tambah hutang lagi. Makin tambah hutang, makin tak lena tidur.
Mr Estima: Kau jangan fikir separuh jer. Matlamat tambah aset adalah untuk buat duit kerja untuk kita. Omputih kata, “Money is the great slave but a terrible master”. Sebelum ni kita hidup untuk dapat duit, jadi hamba duit, kita ubah strategi untuk menghambakan duit.
Hutang yang baik adalah salah satunya. Tapi kita kena ada matlamat untuk bebas kewangan. Contoh macam pakcik, pakcik dah tak perlu kerja sebenarnya kerana pendapatan pasif pakcik dah cukup untuk tampung hidup pakcik. Tapi sebab malas nak duduk rumah, pakcik kerja seperti biasa. Kawan-kawan pakcik mulakan bisnes mereka sendiri.
Jadi untuk kau, pakcik rasa kau kena kira sendiri berapa income pasif yang kau perlukan. Rasanya dekat KL kau perlukan at least RM3000 untuk hidup secara asas. Cukup untuk bayar sewa, makan pakai, transport. Yang ni takde la joli-joli. Kalau kau sabar, kau akan jadi kaya.
Mr Vios: Pengorbanan betul ni kan. Takde ker pendapatan pasif lain?
Mr Estima: Ada banyak. Kalau kau rasa dengan property ni lambat, kau boleh cepatkan. Kena faham strategi Multiple Sources of Income. Ada tiga jenis income iaitu Active Income (Pendapatan Tetap), Side Income (Pendapatan Tambahan) dan (Passive Income) Pendapatan Pasif.
FINANCIAL FREEDOM FORMULA
Passive Income > Active Income > Expenses
Antara strategi yang simple adalah buat Active Income dan Side Income, dan hasilnya terus dilaburkan kepada Passive Income. Macam ko sekarang, kau ada Active Income dan Passive Income. Tapi passive income ko belum cukup untuk ko financially free.
So kau ada options untuk cepatkan dengan tambahkan side income. Kau boleh pilih macam-macam options. Samaada buat parttime business, jual produk orang, atau jadi ejen. Ramai yang jadi ejen unit trust, saham, takaful, MLM (ehh?) dan lain lain.
Duit side income ni kau jangan mengada-ngada joli. Kau simpan dan tambah aset untuk pasive income. Kalau kau dah ngada-ngada menunjuk konon ada BMW, Audi, MErcedes, sendiri fikir la. Memang boleh nak celebrate, tapi berpada-pada. Takut kau pun takkan boleh keluar dari kitaran hidup mengejar duit.
Dan kau perlu ingat, Active Income dan Side income ini memerlukan tenaga. Jadi kau kena kerja keras. Disinilah kuncinya. Bila side income kau dah melebihi gaji tetap, dan telah konsisten selama sekurangnya setahun, kau berhentilah kerja. Fokus kepada side income kau tu.
Disini kau dah ada KEBEBASAN yang pertama. Iaitu kau tak perlu kerja dengan orang. Bebas Pekerjaan. Kau boleh kerja sendiri.
Ada harganya bebas ni.
Mr Vios: Wow wow wow. Tak pernah terfikir pula plan macam ni. Sebelum ni saya tak pernah terfikir boleh tak makan gaji.
Mr Estima: Lepas kau boleh kerja sendiri dan kau dah ada pasif income yang mencukupi, kau boleh buat apa yang kau nak buat. Kejarlah cita-cita kau. Buatlah bisnes yang menguntungkan dan bermanfaat untuk orang.
Kawan-kawan pakcik ramai yang sudah multimillionaire dengan bisnes. Berniaga kan 9/10 daripada rezeki. Kau jangan takut berniaga nak.
Kereta-kereta sewa pakcik bukan pakcik urus sendiri. Ada syarikat, ada pengurus dan ada pekerja. Pakcik beri kepada anak saudara pakcik untuk urus rumah-rumah pakcik. Pakcik bayar gaji dia. Leverage orang kata. Kalau kita nak buat semua sendiri, memanglah tak larat.
Mr Vios: Mantaplah pakcik, saya dah jelas sikit roadmap hidup saya. Insya Allah saya akan merancang untuk buka bisnes sendiri juga nanti.
Cerita oleh : Alwi Adam EzazWealth
in Cherite Bezs
Sep25