Rezeki adalah suatu yang lumrah diperkatakan setiap hari. Di tv, surat khabar, media sosial pasti ada cerita berkenaan rezeki. Ada cerita orang yang berjaya, orang yang gagal, orang sakit, rumah terbakar, kahwin lagi, bercerai, dapat anak, naik pangkat, beli kereta besar dan macam-macam lagi lah.
Kita selalu dengar rezeki orang lain-lain. Ada orang yang rezekinya murah, tidak perlu bertungkus-lumus tetapi rezekinya melimpah-luah. Ada orang yang mungkin terpaksa memerah akal dan tenaga tubuh badan yang banyak sehingga akhirnya, seluruh hari diabadikan hanya untuk berusaha mencari rezeki.
Begitulah hakikatnya rezeki. Kita tidak pernah tahu bila datangnya ia. Seperti cuaca, kita mungkin dapat meramal panas hinga ke petang tetapi rupanya hujan ditengah hari. Rezeki adalah hal yang ghaib, hanya Allah sahaja yang tahu.
Buku Mudahnya Menjemput Rezeki ni merungkai rahsia mudah untuk mendapat rezeki. Ia dikongsi oleh penulisnya iaitu Fathuri Salehuddin yang selain melalui pembacaan, sebahagian besarnya beliau pelajari dari UK atau Universiti Kehidupan khususnya pengalaman ‘Menjemput rezeki Allah’.
Buku setebal 184 mukasurat ini mempunyai 4 bahagian yang kesemuanya terkandung 40 buah bab. Buku ini telah dilancarkan pada Mei 2012 di PWTC dimana cetakkan pertamanya sebanyak 5000 naskah telah terjual dalam kurang 100 hari. Sejak Feb 2014, buku ini telah dicetak sebanyak 17 kali.
Melalui pengamatan yang sungguh-sungguh, beliau sangat yakin untuk menyatakan bahawa sesungguhnya ‘Menjemput rezeki’ jauh lebih mudah berbanding sekadar ‘Mencari Rezeki’. Inilah idea didalam buku ini yang mahu disampaikan kepada masyarakat.
Pertama kali aku beli buku ni tahun lepas. Masa tu masih susah nak dapat walaupun telah banyak diperkatakan di internet, sekarang pergi sahaja mana-mana kedai buku memang ada. Harganya bagi aku semua orang mampu iaitu RM18, tinggal keinginan untuk membeli je yang perlu ada.
Rezeki bukan sekadar yang nampak dimata. Rezeki adalah apa yang kita rasakan manafaatnya, sama-ada halal atau haram, baik ataupun buruk. Milik kita belum tentu rezeki kita. Rezeki lebih tahu alamat tuannya. Pekerjaan, duit, makanan, pakaian, harta, keluarga, kesihatan kecantikkan dan apa-apa yang boleh dilihat adalah rezeki. Kebijaksanaan, ilmu , sikap, tingkah laku, hidayah, sifat-sifat yang baik dan tak baik juga adalah rezeki. Setiap daripada kita mempunyai rezeki yang unik dan kelebihan tertentu.
Satu-satunya pemberi rezeki hanyalah Allah. Dia yang memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung jumlahnya. Rezeki sangat berkait dengan iman. Kita semua percaya yang rezeki itu datang daripada tuhan, tapi tanpa disedari antara kerja dan tuhan, aku telah letakkan tuhan nombor dua pula.
Banyak yang aku perlu perbaiki dalam mendapatkan rezeki. Dari beberapa contoh realiti dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki ini memberi keyakinan yang tinggi yang menjemput rezeki itu lebih mudah berbanding mencari rezeki. Jalannya juga turut telah di susun bagi sesiapa yang ingin membina impian yang di cipta.
Setakat ini perkongsian aku kali ini, semoga memberi manafaat. Yang baik dan sempurna adalah daripada Allah dan tidak baik adalah dari kelemahanku sendiri.
Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.
(Surah Ath-Thalaq 65: 3)
in Buku
Mac26