Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.
Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “Bijak Mengurus Harta”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Menjaga dan memelihara harta merupakan salah satu daripada lima prinsip maqasid al-syariah yang telah ditetapkan oleh syarak. Ini termasuklah dalam perkara pengurusan harta yang ditinggalkan seperti harta pusaka selepas kematian. Antara ilmu yang berkaitan dengan pengurusan harta ialah ilmu faraid, ilmu wasiat dan ilmu hibah yang disyariatkan bagi mengelakkan perebutan harta yang menyebabkan persengketaan yang merosakkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim di samping mengelakkan penganiayaan di dalam keluarga.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Ilmu faraid ialah suatu ilmu tentang pembahagian harta yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang telah dinyatakan secara jelas di dalam alQuran dengan menetapkan siapakah yang berhak terhadap harta peninggalan tersebut dan kadar bahagian yang ditetapkan bagi setiap waris yang layak menerima selepas kematian pemilik harta.
Pembahagian harta pusaka mengikut ilmu faraid sangat penting bagi memastikan harta pusaka disalurkan secara adil kepada ahli waris yang berhak menerimanya. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas Radiallahu ‘anhuma, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
“Hendaklah kamu berikan (bahagian-bahagian) faraid (waris yang telah ditetapkan) kepada yang berhak. (Sekiranya) terdapat lebihan, maka diutamakan kepada waris lelaki yang paling dekat (nasabnya).”
Hikmahnya, faraid dapat memastikan bahawa hak-hak ahli waris yang ditinggalkan iaitu seperti ibu, bapa, suami, isteri dan anak-anak dapat bahagian masing-masing daripada harta tersebut bahkan dapat mencegah konflik dalam keluarga.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Dalam pengurusan harta, kita juga mesti memahami tentang wasiat iaitu pengakuan atau iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas kematian pewasiat. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar Radiallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Bermaksud: “Tidak ada hak seorang muslim yang mempunyai sesuatu (harta) yang akan diwasiatkannya, dia bermalam selama dua malam kecuali wasiatnya itu ditulis di sisinya.”
Justeru, amalan berwasiat terhadap harta sangat dituntut untuk memastikan harta kita dapat diuruskan dan dimanfaatkan dengan baik selepas kematian kita. Antara kepentingan menulis wasiat ialah kita boleh merancang untuk memberikan harta terutama kepada mereka yang dekat dengan kita seperti anak angkat, anak yatim, waris yang terhalang daripada menerima harta pusaka dan lain-lain pihak termasuk bagi tujuan wakaf dan sedekah untuk kemaslahatan umat Islam. Harus diketahui bahawa, seseorang tidak boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga daripada nilai harta tersebut.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Ilmu berkaitan hibah juga mesti dipelajari dan difahami dengan baik oleh semua umat Islam. Hibah ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Ia memerlukan ijab dan qabul dan proses pindah milik harta boleh dilakukan ketika pemilik harta masih hidup atau selepas kematiannya.
Hukum syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu. Bahkan, menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikirannya menghibahkan keseluruhan hartanya. Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya berlaku adil kepada anak-anak sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Nu’man bin Basyir Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Bertakwalah kepada Allah SWT, dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.”
Berbeza dengan wasiat dan faraid, hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Sekiranya penerima hibah adalah bukan mukalaf iaitu belum akil baligh atau kurang upaya, hibah tersebut boleh diberikan kepada wakilnya. Demikian juga tiada had harta yang boleh dihibahkan dan ia tidak memerlukan persetujuan waris. Selain itu, hibah juga boleh diberikan kepada orang bukan Islam bagi tujuan mengeratkan hubungan persaudaraan.
Namun, sekiranya pemberi hibah yang melakukan hibah dalam keadaan marad al-maut iaitu keadaan di mana pemberi hibah sedang sakit tenat atau sakit yang boleh membawa kepada kematian, maka hibahnya tidak boleh melebihi daripada satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris. Ini memberi maksud bahawa hukum wasiat adalah terpakai. Sekiranya diberikan kepada ahli waris sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih maka ia tertakluk kepada keizinan atau persetujuan daripada waris-waris yang lain.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Sikap kurang mengambil tahu mengenai ilmu faraid, wasiat dan hibah sehingga langsung tidak membuat apa-apa persediaan akan menyukarkan proses pembahagian harta pusaka jika berlaku kematian. Akibat tidak memahami ilmu-ilmu tersebut juga boleh menyebabkan ketidak puasan hati sesama waris sehingga berlaku kelewatan dalam pembahagian harta pusaka.
Kelewatan pembahagian harta pusaka juga akan berlaku sekiranya waris-waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan siapa sebenarnya yang tergolong sebagai ahli-ahli waris kepada si mati. Keadaan ini akan menyebabkan harta-harta si mati terutamanya harta tak alih seperti rumah, tanah, bangunan dan premis kedai, begitu juga harta alih seperti wang simpanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), simpanan Tabung Haji, saham, syer syarikat, barang kemas dan lain-lain akan menjadi beku dan tidak dapat diurus dengan baik. Kegagalan mengurus harta pusaka dengan baik akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi keluarga yang membawa kepada pertelingkahan sesama waris. Lebih malang lagi sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mendapatkan harta peninggalan tersebut secara zalim kerana diselubungi dengan sifat tamak.
Mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita meningkatkan ilmu pengurusan harta. Pelajari dan fahamilah ilmu dan hukum faraid, wasiat dan hibah dalam Islam. Sememangnya kefahaman yang betul mengenai ilmu-ilmu tersebut dapat memastikan harta pusaka yang akan ditinggalkan dapat diuruskan dengan baik di samping memastikan manfaat harta tersebut dapat dinikmati oleh orang lain serta ianya menjamin keutuhan tali silaturrahim dan persaudaraan sesama ahli keluarga, kaum kerabat dan umat Islam umumnya.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Menjaga dan memelihara harta merupakan salah satu daripada lima prinsip maqasid al-syariah termasuklah dalam perkara pengurusan harta pusaka selepas kematian seseorang.
Kedua: Pelajari dan fahamilah ilmu berkaitan faraid, wasiat dan hibah yang dijelaskan oleh syarak bagi memastikan harta yang dimiliki dapat diuruskan dengan baik dan sempurna.
Ketiga: Rancanglah pengurusan harta dengan bijak supaya kita dapat menjamin hak-hak waris yang layak mengikut faraid di samping ia juga dapat dimanfaatkan untuk orang lain melalui wasiat dan hibah.
Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah an-Nisa’, ayat 9:
“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).”
.
.
Teks ucapan penuh disini.
.
+++++++++++++++++++++++++++++++
.
Sebarang pertanyaan mengenai perancangan pewarisan yang sesuai untuk anda boleh hubungi:
Mohd Syamsul
Perunding Pewarisan Harta Islam
Wasiyyah Shoppe Berhad
Mei30