Kesihatan. Ramai yang tahu bahawa kesihatan itu penting. Saya rasa, tak akan ada orang yang kata kesihatan itu tidak penting.
Tapi, dalam semua orang tahu pentingnya kesihatan, tak ramai yang menyedari pentingnya menjaga kesihatan. Di sinilah sebenarnya masalah kita.
Siapakah yang dapat menghubungkan kesihatannya kepada Allah SWT?
Ya, kesihatan itu daripada Allah, kurniaan Allah. Itu semua kita tahu. Tapi siapa dapat relasikan antara keperluan kesihatannya dengan Allah SWT? Apa perlunya sihat dalam hubungan antara kita dengan Allah?
Di sini, anda mungkin dapat meneka apa yang ingin saya sampaikan. Tapi saya hendak menyentuh lebih daripada itu.
Amanah Allah
Manusia diciptakan sebagai khalifah di atas muka bumi. Allah menciptakan bumi untuk manusia tadbir, gunakannya sebaik mungkin. Kalau kita analogikan bumi kurniaan Allah SWT sebagai tubuh badan kita yang juga dikurniakan Allah SWT, maka dapatlah kita katakan bahawa manusia itu juga perlu mentadbir dan menggunakan tubuh badannya sebaik mungkin.
Segala kurniaan Allah SWT adalah amanah kepada kita. Dunia ini amanah, Islam ini adalah amanah, dan tubuh badan kita juga adalah amanah. Semua amanah Allah ini, kita bertanggungjawab menjaganya, mempertingkatkan kualitinya dan berusaha sehabis mungkin dalam menjalankan tanggungjawab kita.
Semua perkara akan ditanya di akhirat nanti. Soal jawab Allah nanti amat ketat.Dan antara situasi soal jawab yang telah bocor kepada kita adalah semua anggota tubuh badan kita akan menjadi saksi kepada perlakuan kita terhadapnya.
Bagaimana agaknya kalau perut kata: “Ya Allah, hambaMu ini makan pakai sental je tak kira bersih tidak, maka aku menjadi sakit dan dia mati kerana keracunan makanan” Tidakkah di situ anda dikira pengkhianat?
Sama seperti orang yang ditugaskan menyalurkan wang derma ke rumah anak yatim, kemudian dia mencurinya, tidakkah anda sama? Diberikan tubuh badan percumanya tetapi menggunakannya dengan cara yang tidak betul?
Sabda Rasulullah SAW: “Setiap kamu adalah ketua, dan semua kamu dipertanggungjawabkan, dan semua yang dipertanggungjawab akan ditanya akan apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya”
Mencegah lebih baik
Sejak masuk zaman di mana doktor pakar wujud, manusia faham bahawa kalau sakit jumpa doktor. Nanti doktor bagi ubat. Tapi tiada siapa terfikir bahawa doktor itu hanya manusia biasa dan dia tidak mampu berbuat apa-apa selain berusaha. Dia berusaha memeriksa kita, dia berusaha mencari ubat yang sesuai dengan hasil pemeriksaannya ke atas kita. Tidak lebih dari itu. Tiada yang lebih tahu akan penyakit kita, melainkan Allah SWT.
Kita sendiri sukar nak menjangka, sakit kita ni macam mana sebenarnya. Lagi-lagi penyakit macam HIV, doktor pun susah nak ubat. Last-last dia suruh kita kuarantin dari keluarga. Tunggu menghadapi kematian sahaja.
Bukankah lebih baik jika kita juga berusaha mencegah penyakit atas tubuh badan kita dari awal? Penyakit HIV kita cegah dengan mengelak pergaulan bebas, badan sengal-sengal tak cergas letih lesu kita cegah dengan rajin beriadhah, keracunan makanan kita cegah dengan mengamalkan pemakanan sihat dan menjaga kebersihan, H1N1 kita cegah dengan mengamalkan langkahan pencegahan seperti pakai mask dan sebagainya.
Ada perbezaan mencegah dengan megubat. Mencegah, kalau berjaya, kita tidak kena penyakit tu. Pendek kata, penyakit tu tak melekat pada tubuh badan kita. Mengubat ni, penyakit tu dah ada dalam badan kita. Jadi pastinya berbeza kain kotor yang dicuci, dengan kain bersih yang kita baru beli dan tak pakai lagi.
Di sini pentingnya pencegahan. Namun siapa yang bergerak mencegah dirinya dari penyakit, dengan menjaga tubuh badannya sebaik mungkin? Jaga tak pemakanan? Beriadhah tak? Bila berlaku wabak, amal tak pencegahan yang disarankan? Tepuk bahu, tanya diri sendiri.
Pesan Rasulullah SAW Rasulullah SAW berpesan dalam sabda baginda yang masyhur: “Kejarlah lima sebelum lima…” Dan antaranya lima itu adalah: “Sihat sebelum sakit”
Di sini membuktikan betapa menjaga kesihatan itu adalah kewajipan, menggunakan kesihatan dengan sebaiknya adalah kewajipan, dan berusaha memanjangkan kesihatan itu adalah kewajipan.
Pesanan ini, adalah kunci kata bahawa sihat itu adalah penting. Sangat-sangat penting. Kalau tidak, sihat tidak akan dibariskan dalam hadith ini, sebaris dengan empat perkara lain seperti kaya, masa lapang, muda dan hidup.
Pentingnya sihat
Semua orang tahu, kalau sihat boleh buat banyak benda. Ya. Semua tahu yang tu. Bila sihat, kita mudah beribadah kepada Allah SWT. Bila sihat, kita mudah mengajak orang lain kepada kebaikan. Bila sihat, kita mudah menjalankan kehidupan harian kita. Bila sihat, kita mudah bergaul dengan orang lain. Bila sihat, kita boleh berbahagia dengan keluarga, sanak saudara dan teman-teman. Bila sihat, kita boleh belajar dengan tenang dan mudah. Bila sihat, kita boleh laksanakan tanggungjawab kita dengan baik. Bila sihat, itu semua boleh dilakukan.
Bukanlah saya nak kata bila sakit, semua tu tak boleh buat. Tapi ketahuilah bahawa: “Tidak sama orang yang duduk dengan orang yang berdiri” Jadi tak sama lah melakukan semua itu dalam keadaan kita sihat dengan dalam keadaan kita sakit.
Bila sihat, kita boleh mengeluarkan seluruh potensi kita dalam kerja yang hendak kita lakukan. Bila sakit, mungkin kita boleh buat semua tu, tapi semestinya potensi dan kualiti kerja kita berkurang.
Wajib Satu kaedah ulama’ adalah: “Apa yang tidak sempurna dengan”nya” sesuatu yang wajib, maka “nya” itu menjadi wajib”
Asal hukum wudhu’ tidak wajib. Boleh cari dalam semua kitab yang ada dalam dunia ni. Tapi tanpa wudhu’, solat kita yang wajib jadi tidak sah. Maka automatik, wudhu’ menjadi wajib walaupun asalnya ia tidak wajib.
Begitulah juga halnya dalam menjaga kesihatan. Saya cakap ni khusus untuk orang yang membawa kerja-kerja Islam dan menyebarkan dakwah, pendidik, pemimpin dan sebagainya, serta amnya untuk semua.
Nak bawa Islam wajib, menyebarkan dakwah wajib, pendidik wajib mendidik masyarakat agar menjadi bagus, pemimpin wajib memimpin rakyat dengan baik. Masyarakat memerlukan sumbangan daripada orang-orang ini.
Membentuk masyarakat yang Allah redha, yang menepati ciri-ciri yang Allah nak adalah wajib.. Jadi, menjaga kesihatan juga adalah wajib, kerana tanpa kesihatan, yang nak bawa Islam tak boleh bawa Islam dengan baik, yang nak berdakwah tak boleh berdakwah dengan baik, yang hendak mendidik tidak boleh mendidik dengan baik, yang hendak memimpin tidak boleh memimpin dengan baik.
Simpulannya, menjaga kesihatan adalah wajib. Anda sudah nampak sekarang kenapa perlu menjaga kesihatan? Kenapa perlu mencegah penyakit? Kenapa kalau sakit kena pantas berubat?
Kalau sakit jugak “Saya dah jaga semua dah, tapi sakit juga” Kata anda.
Memang, manusia nak tak nak akan sakit juga. Sekurang-kurangnya, ada beza sakit dengan kita berusaha untuk tidak sakit, banding dengan sakit bila kita memang cari penyakit.
Bila kita dah amalkan pencegahan, kita dah jaga kesihatan sehabis baik, maka kalau kita ditakdirkan terjangkit juga dengan penyakit, Allah izin tiba-tiba terjatuh patah tangan kaki ke, mana tahu nanti Allah izin kita jatuh sakit jugak, kita akan jadi lebih mudah untuk redha. Tiada penyesalan.
Berbanding dengan orang yang sakitnya sebab dia mencari penyakit, tak jaga kesihatan, ketika itu dia akan dirundung penyesalan. Baru dia tahu, dia adalah pengkhianat kepada amanah yang diberikan.
Namun, pada saya, kedua-duanya, baik yang jaga kesihatan atau yang tak jaga, bila anda sakit, ada kelebihannya.
Kalau yang tak jaga kesihatan, kemudian jatuh sakit, itu medan muhasabah untuk dia. Muhasabah agar nanti kalau dia sembuh, dia akan menjaga kesihatannya dengan baik.
Yang menjaga kesihatan, mencegah penyakit, menjaga tubuh badan, kalau sakit juga, maka itu medan ujian keimanan kita kepada Allah, sejauh mana kita redha dengan keputusan-Nya, sejauh mana kita yakin bahawa keputusan Allah adalah yang terbaik.
Bagi semua yang sakit, baik kerana tidak menjaga kesihatan atau Allah memang nak dia sakit, semuanya menghadapi satu medan yang sama iaitu medan tarbiyah.
Ketika kita sakit, tiada lain kita inginkan kesembuhan dari penyakit. Saat itu, kita sanggup jual segalanya untuk sihat, namun tiada benda dalam dunia ini yang boleh memberikan sihat, kecuali… Allah SWT.
Maka ketika sakit inilah medan tarbiyah untuk kita, menggantungkan segala harapan kita kepada Allah SWT, agar Dia menyembuhkan diri kita dari penyakit yang Allah kurniakan kepada kita.
Harapnya selepas sihat nanti, kita lebih tenang dan yakin dengan kebergantungan kita kepada Allah SWT.
Penutup:
Apa-apa pun, sila jaga kesihatan. Apa-apa pun, sila jaga kesihatan anda. Cegah dari awal, dan kalau ada simptom kena penyakit, maka rawat segera. Tiada penyakit yang tiada ubat melainkan mati dan tua sahaja.
Siapa yang malas riadhah, riadhah lah. Siapa yang makan pakai sental je, jaga-jaga sikit, kawal pemakanan. Siapa yang tahu diri dia dah tua, dah kurang kuat, maka jangan cari fasal buat kerja berat-berat.
Akhir sekali, jangan lupa sentiasa minta pada Allah SWT agar dia mengekalkan kesihatan kita.
Ini pesanan saya kepada diri saya dan anda. Kita semua ada banyak kerja, ada banyak urusan, dan matlamat kita untuk jadi hamba Allah SWT yang diredhai belum lagi selesai serta masih jauh lagi perjalanan kita.
Sebab itu, kesihatan adalah antara faktor dominan untuk melancarkan perjalanan kita. Jaga kesihatan anda. Pesan saya untuk semua.
Nov 4th, 2009
by Hilal Asyraf.
Sumber : http://ms.langitilahi.com/perkongsian-kesihatan-itu-amanah/
Perlindungan Takaful Alaf Baru
in Nota Best, Penagajaran
Jul19