Ala, cerita pasal duit ke ni? hihi..
Jika kita tak selesa atau risau cakap pasal duit atau kewangan, mungkin ia sebab kita memang tak tahu urus duit dan cara capai matlamat kewangan kita sendiri..
Kedudukan kewangan yang kukuh adalah bila kita dapat pastikan kedudukan kewangan kita terjamin dimasa hadapan tak kira apa juga keadaan.
Untuk ini, perlu tetapkan disiplin dan komitmen yang diperlukan dalam membuat perancangan mengikut peringkat umur kita.
Kebanyakkan orang hanya buat perancangan kewangan untuk perkara yang boleh dijangka. Macam kawin, nak beli rumah, nak beli kereta, nak bercuti, nak bayar semua bil, bayar hutang bank, belanja dapur, belanja harian dan seangkatan dengannya ..
Malangnya, ramai gagal bertanggungjawab untuk membuat perancangan bagi persaraan, penjagaan perubatan jangka panjang dan perancangan pewarisan harta sendiri.
Jika kita mula berfikir dari sekarang mengenai bagaimana untuk menangani hal-hal ini pada masa akan datang, ia akan memastikan kedudukan kewangan kita kekal kukuh sepanjang hidup.
Setiap orang miliki berbeza-beza situasi kewangan. Ada yang pendapatan tinggi, hutang pun tinggi, hidup pula tak tenang. Ada yang pendapatan rendah tapi hidup tenang, tak ada hutang.
Ada orang yang daripada hidup susah jadi senang. Ada yang mulanya hidup senang tapi dihujung usia kehidupan berubah. Semua bergantung pada bagaimana kita uruskan kewangan hasil kekayaan kita.
Pentingnya disini, kita bukan sahaja perlu mengetahui kedudukan kewangan kita, malah mengetahui bagaimana untuk mengawal kewangan kita.
Menurut Thomas J. Stanley dan William D. Danko dalam buku mereka bertajuk The Millionaire Next Door, kebanyakan jutawan berpendapat bahawa tidak kira berapa pendapatan anda, apa yang lebih penting ialah kekayaan anda.
Para jutawan percaya bahawa mereka perlu “mengumpul duit, menyimpan duit dan mengembangkan duit tersebut”, bukan hanya “mengumpul duit dan membelanjakannya”.
Mereka percaya bahawa cara untuk menjadi kaya adalah dengan mengurangkan penggunaan/ perbelanjaan dan mendapatkan nilai yang paling tinggi daripada semua pembelian mereka. Untuk menambahkan kekayaan, kita juga perlu mengawal perbelanjaan.
Ada empat kunci membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.
Apa yang perlu dilakukan untuk menuju kewangan yang kukuh?
Tetapkan matlamat pengurusan kewangan kita sedari awal lagi. Berikut senarai matlamat pengurusan kewangan yang perlu dilakukan:
- Pengurusan aliran tunai
- Menilai nilai bersih (net worth) kewangan yang ada sekarang (apa yang dimiliki ditolak hutang yang ada). Ini secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan.
- Di antara perkara yang perlu dirancang ialah belanjawan, melangsaikan hutang dan membuat tabungan.
- Perancangan Pelaburan
- Setelah anda menentukan jumlah wang yang ingin ditabung, anda patut menimbangkan pula di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa.
- Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya anda mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan anda.
- Perancangan Perlindungan Takaful
- Pastikan supaya semua aset dan keluarga anda dilindungi oleh perlindungan takaful secukupnya.
- Kematian adalah pasti, bagaimana pula dengan keilatan/lumpuh, penyakit kritikal, kemalangan dan bermacam-macam lagi musibah yang mungkin menimpa kita. Adakah kita bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi musibah ini.
- Bagaimana pula dengan kos rawatan hospital yang tinggi? Adakah kita ingin menggunakan duit simpanan untuk menampung kos perubatan.
- Perlindungan komprehensif akan membantu anda menghadapi pelbagai risiko dan ia juga dapat digunakan untuk persediaan pelan persaraan dan pendidikan anak.
- Perancangan Cukai
- Perancagnan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki.
- Ingat, anda bukan hendak melarikan diri dari membayar cukai tetapi anda belajar kaedah untuk mengurangkan cukai yang perlu dibayar.
- Perancangan Persaraan
- Anda tidak akan bekerja sepanjang hayat.
- Apabila tanda-tanda usia meningkat sudah bermula atau anda telah mencapai usia mesti bersara, anda terpaksalah bersara.
- Oleh itu, amat mustahak mempunyai pelan kewangan.
- Perancangan Pengagihan Harta
- Mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak anda terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan.
- Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga anda, memastikan harta anda terpelihara dan diberikan kepada waris-waris anda, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga.
Tetapkan Matlamat Kewangan
Nak tahu usaha untuk mencapai MATLAMAT KEWANGAN kita berjaya ke tidak? Guna kaedah S.M.A.R.T. ini :
S >> Specific @ Khusus
M >> Measureble @ Boleh diukur
A >> Achieveble @ Boleh dicapai
R >> Realistic @ Ikut kemampuan
T >> Time @ Ada tempoh masa
Berapa Banyak Sebenarnya Wang Yang Diperlukan Untuk Mencapai Matlamat Kita?
Dalam merancang matlamat, pastikan ia KHUSUS (Apa, Kenapa dan Bagaimana)
Kita perlu membuat perancangan secara teliti mengenai berapa banyak wang yang kita mahu! Bak kata pepatah Inggeris, “jika anda tidak boleh mengukurnya, anda tidak boleh mengurusnya.”
Kita perlu menetapkan matlamat kewangan supaya kita jadi lebih berdisiplin, disamping akan berasa puas apabila mencapai matlamat tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan BOLEH DIUKUR.
Kita boleh menetapkan pelbagai matlamat, contohnya bila kita nak bersara dan berapakah tahap kewangan kita untuk layak bersara.
Memeriksa Kewangan Secara Berterusan.
Selain daripada mempunyai idea yang jelas mengenai perancangan kewangan yang kukuh, kita haruslah sedar tentang kedudukan kewangan kita pada setiap masa.
Buat pemeriksaan secara berterusan setiap komponen kewangan kita seperti pinjaman yang perlu dibayar, baki kad kredit, serta pendapatan dan perbelanjaan bulanan kita.
Walaupun kita tak perlu lakukan semua ini setiap hari, kita perlu membuatnya kerana ia akan memberikan gambaran yang lebih luas mengenai kedudukan kewangan kita.
Dengan ini kita dapat ketahui gambaran sebenar kewangan kita bagi memastikan matlamat kewangan kita BOLEH DICAPAI.
Mulakan Latihan Mengukuhkan Kewangan
Seperti latihan untuk menjadi ahli sukan Olimpik misalnya, kita perlu melalui beberapa siri latihan untuk memastikan kita mencapai kedudukan kewangan yang lengkap.
Dengan mula bertindak, kita akan mula melalui fasa kefahaman yang diperlukan dan sedikit demi sedikit kewangan kita akan kukuh seiring dengan kematangan kita dalam kewangan.
Kita perlu komited kepada pelan perancangan kita, dan ini memerlukan ketabahan dan ketekunan.
Pastikan matlamat kewangan kita adalah REALISTIK dengan kemampuan kita mengendalikannya.
Tahu Secara Tepat Bila Kita Ingin Mencapai Matlamat Tersebut.
Matlamat kewangan kita harus ADA TEMPOH MASA.
Dengan adanya satu tarikh akhir mengenai bila kita ingin capai matlamat itu, ia akan memberi sasaran yang jelas untuk dicapai dan kita dapat tahu samada kita berada di landasan yang betul.
Tanpa satu tempoh masa, kita tidak akan merasa kepentingan untuk mula mengambil tindakan secara serius dan tanpa berlengah-lengah lagi.
Jadi apa tunggu lagi? Tetapkan satu matlamat kewangan yang S.M.A.R.T. hari ini dan mulakan perjalanan ke arah kedudukan kewangan yang kukuh!
Ogo20